Dari jarak 12km ke puncak Merapi, gelegar gunung berapi itu sudah kedengaran seperti helikopter di atas kepala pada Khamis malam, sebelum ia mengamuk dengan letusan paling dahsyat sejam
kemudian.
Gemuruh Merapi yang sangat luar biasa itu telah memeranjatkan seluruh penduduk kawasan penempatan Surowono menyebabkan mereka bergegas meninggalkan rumah masing-masing menyelamatkan diri pada dini hari Jumaat.
"Seumur hidup bapa saya yang sudah berusia 65 tahun pun, amukan Merapi pada malam itu belum pernah berlaku. Bunyinya seperti helikopter di atas kepala, kami semua dan masyarakat seluruhnya segera meninggalkan rumah masing-masing menyelamatkan diri," kata Maria Seger Rayahu, penduduk pekan Surowono, Klaten, Jawa Tengah.
Menceritakan saat yang mencemaskan itu, Maria berkata malam gelap gulita dan kabus tebal pada hari itu, menutupi pandangan beliau dan penduduk kampung dari Merapi pada malam itu, namun mereka dapat merasakan sesuatu yang aneh pada malam tersebut.
"Tingkap kaca dan bingkai besi yang bergoncang yang mengeluarkan bunyi yang menyeramkan menjadi amaran awal kepada kami. Tak lama kemudian pada kira-kira pukul 11.30 malam, gelegar Merapi yang sangat luar biasa itu terdengar dan bunyi itu berlarutan sampai sejam," katanya.
Kini pekan Surowono, yang biasanya sibuk dengan kegiatan masyarakat membeli barangan harian menjadi sepi bagai pekan mati kerana hampir semua 500 penduduk telah menyelamatkan diri dan tinggal di pusat pemindahan bencana Merapi.
Maria, 40, dan anak lelakinya Petrus Nugroho, 18, adalah antara lima keluarga yang tetap tinggal di rumah mereka di pekan itu, kerana mahu memastikan harta benda mereka tidak hilang.
Ada keluarga lain yang tetap tinggal di kawasan itu kerana tidak sampai hati meninggalkan seorang warga mas Ibu Wiroyo Sanem, 85, yang tetap enggan berpindah dari rumahnya.
Maria mengusahakan kedai butik pakaian dengan dibantu anaknya Petrus dan di hadapan kedai mereka ialah Pasar Surowono. Pada hari-hari biasa sebelum ini dalam keadaan cuaca baik, Gunung Merapi akan kelihatan tersergam gagah dari jalan utama pekan Surowono itu.
Beliau berkata pengamalan awal pagi Jumaat itu membuat hampir seluruh penduduk kawasan tersebut takut untuk tinggal di rumah masing- masing, walaupun mereka selama ini yakin lahar panas Merapi tidak akan sampai ke situ kerana ada Gunung Hijau di hadapan Merapi yang menjadi penghadang.
Kini mereka bimbang dengan keselamatannya apabila awan panas "wedhus gembel" Merapi yang berkepanasan 600 darjah selsius telah mengakibatkan lebih100 penduduk di lereng gunung berapi itu maut terpanggang dan sejumlah yang lain lagi cedera.
Sejumlah 26 kampung turut musnah dalam kejadian letusan Merapi, yang terus berlaku hampir setiap hari sejak letusan pertama pada 26 Oktober lalu.
--Bernama
0 Komen pengunjong :