BUTTERWORTH, 1 Okt — Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencabar kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno negeri itu agar memulangkan gaji dan elaun wakil rakyat mereka jika serius mahu menyelamatkan umat Islam daripada menerima wang ihsan yang mereka dakwa sebagai dana bersumberkan hasil judi.
Cabaran itu dibuat rentetan kenyataan Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim kelmarin bahawa 40 warga emas dalam kawasan beliau telah memulangkan wang ihsan RM100 seorang kepada warga emas.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini Azhar berkata lebih ramai akan berbuat demikian.
Semalam kerajaan negeri menyifatkan tindakan Azhar itu sebagai sandiwara untuk menyerang pentadbiran PR.
Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Syed Mikael Rizal Aidid, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP negeri Ng Wei Aik dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Md Noor Harun itu turut menyelar Umno Pulau Pinang yang memperalatkan warga emas bagi mencapai cita-cita politik murahan mereka.
“Umno sepatutnya mendapatkan kenyataan sebenar mengenai sumber penggunaan wang penghargaan kepada warga emas sebelum membuat dakwaan yang berunsur fitnah dan bohong,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu, mereka juga menyifatkan tindakan Azhar yang juga Adun Penaga sebagai satu tindakan terdesak Umno bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat negeri ini, khususnya majoriti masyarakat Melayu yang ternyata sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap mereka.
Dakwaan kerajaan negeri menggunakan sumber dari punca judi bagi menghargai warga emas melalui pemberian wang ihsan RM100 dan juga program miskin tegar telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Umno pusat pertengahan bulan lau.
Kerajaan negeri juga didakwa menggunakan wang dari dana Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang sebagai sumber kepada pemberian wang penghargaan tersebut.
Di sebalik dakwaan tersebut Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa bercakap kepada media pada 25 September di Teluk Air Tawar, turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah dan pembohongan yang cuba ditimbulkan oleh Umno di Pulau Pinang.
Sehubungan itu Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar) dalam sidang media beliau semalam turut menafikannya.
“Hasil penjimatan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan PR sejak 2008 yang lalu maka sumbangan kepada warga emas dan golongan miskin tegar telah dapat dimanfaatkan.
“Wang Kelab Lumba Kuda sepertimana yang didakwa itu tidak langsung digunakan untuk program warga emas.Oleh kerana itu Umno jangan cuba hendak memperdayakan warga emas dengan fitnah yang mereka lakukan, “ujarnya.
Malah Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh semasa sidang media yang sama semalam turut meminta Umno Pulau Pinang supaya memastikan mereka yang didakwa memulangkan wang RM100 tersebut adalah mereka yang berdaftar dengan kerajaan negeri.
“Sekiranya benar dakwaan Azhar terdapat warga emas yang menyerahkan semula wang tersebut, maka mereka perlu memberi semua butiran pengenalan diri kepada kerajaan negeri bagi mengenal pasti status sebenar.
“Kita tidak mahu warga emas yang didakwa mengembalikan wang terpedaya dengan muslihat tersembunyi Umno,” tegasnya.
0 Komen pengunjong :