Karpal Gesa 'Nolle Prosequi' Terhadap Kes Anwar

KUALA LUMPUR 30 SEPT: Peguam, Karpal Singh menggesa Peguam Negara mengunakan nolle prosequi (hentikan pendakwaan) bagi kes konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan percabangan antarabangsa seperti yang dinyatakan oleh usahawan Britain, Sir Richard Branson.
Karpal, peguam bela yang mengetuai pihak pembelaan berkata penarikan pertuduhan adalah cara terbaik untuk mencabut 'duri dalam daging' yang dinyatakan Branson.
"Menyeksa Anwar dilihat tidak produktif terhadap pendirian kerajaan, khususnya selepas pilihan raya umum 8 Mac, 2008 yang menunjukkan BN tidak menikmati mandat padu daripada rakyat.
"Di latar antarabangsa, kerajaan terus dibidas dalam isu ini. Saya seru kerajaan agar pragmatik dan realistik. Mendakwa Anwar adalah bercanggah dengan kepentingan nasional kerana tumpuan antarabangsa adalah ke atas perbicaraan itu,” kata Karpal.
Branson pada 27 September lalu berkata perbicaran liwat membabitkan ketua pembangkang itu yang sedang berlangsung memberi kesan ke atas Malaysia dan mematahkan semangat pelabur untuk menanam modal di negara ini.
"Malaysia mempunyai reputasi yang baik di luar negara. Tetapi apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim membawa kesan buruk ke atas Malaysia,” katanya pada majlis khas forum Invest Asia 2010, anjuran International Herald Tribune di Kuala Lumpur.
"Saya fikir ia bukan isu utama tetapi yang pasti ia bagaikan duri dalam daging. Saya berpendapat ini telah berlarutan agak lama. Ini tidak baik di luar negara,” katanya.
Mengikut Malaysiakini, Karpal mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa pihaknya akan cuba mengheret beliau dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk bertindak sebagai saksi dalam perbicaraan itu.
"Jika perdana menteri dan isterinya bersedia diheret, jadi biarkannya. Pasukan pembela memberi jaminan bahawa semua kebenaran akan didedahkan,” katanya.
Pengadu utama kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan pernah berkata dia berjumpa dengan Najib di kediaman rasminya, dan Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri melahirkan rasa terkejutnya.

0 Komen pengunjong :