Tender GLC terbuka kepada semua kaum

Nur Jazlan
PETALING JAYA: Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi peluang kepada syarikat bukan Bumiputera untuk mendapatkan tender, kata beberapa peneraju GLC yang dihubungi hari ini.
Menurut mereka, pemilihan kontraktor untuk projek GLC bukan berdasarkan kaum, sebaliknya kewibawaan dan kebolehan.

Pengerusi UDA Holding Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ada sebuah GLC tidak menghadkan tender bernilai besar dan kompleks dari segi teknikal, dihadkan kepada syarikat Bumiputera sahaja.
"Sebagai contoh, Telekom Malaysia (TM) bukan sahaja menawarkan kerja-kerja kepada syarikat Bumiputera tetapi juga kepada syarikat antarabangsa.
"Ada juga syarikat milik orang Cina yang membuat usahasama dengan syarikat Bumiputera untuk melaksanakan tender GLC. Jadi tidak menjadi isu mengenai penyertaan pengusaha Cina dalam tender GLC," katanya.
Dalam Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA hujung minggu lalu, mereka mahu penyertaan yang lebih dalam GLC termasuk jawatan-jawatan utama.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula mempersoalkan sistem kuota untuk usahawan Bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE).
Sebaliknya, orang nombor satu MCA mahu kerajaan mementingkan sistem merit berbanding kuota bagi memastikan perkongsian tulen antara Bumiputera dan bukan Bumiputera mencapai matlamat.
Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Haron pula berkata, pemilihan kontraktor untuk projek GLC berdasarkan kewibawaan.
"Kontraktor Melayu, Cina atau India dinilai dari segi kewibawaan, bukannya ras. Kepakaran, pengalaman dan rekod juga diambil kira.
"Walaupun di peringkat pelaksanaan dibuat oleh kontraktor Melayu tetapi bekalan diambil dari pembekal kaum Cina manakala pekerjanya adalah orang India," katanya.

0 Komen pengunjong :