Umno-BN Ketandusan Idea Ceduk Semua Dasar Pakatan Rakyat

SHAH ALAM 23 Julai - Langkah kerajaan negeri Perak di bawah Umno-Barisan Nasional menganugerahkan lebih 1,000 hektar tanah kepada sembilan sekolah indipenden Cina membuktikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akhirnya terpaksa mengakui dasar yang dibuat semasa Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu adalah yang terbaik untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata idea yang dicedok daripada pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan kepada rakyat Perak dasar serta program yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sebelum ini sebenarnya mendahului di segi idea dan perlaksanaan untuk memberikan kebajikan kepada rakyat.
"Nampaknya Zambry mengikut jejak langkah Nizar dengan membuat pengumuman pemberian bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian di negeri ini dalam isu pemberian tanah bagi menampung perbelanjaan sekolah terbabit.
"Dulu mereka menganggap apa yang hendak dilakukan cuma retorik politik tetapi sekarang ini mereka mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat itu betul," kata Idris ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau juga melihat kerajaan Umno-BN meniru apa sahaja dasar yang dilakukan oleh negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat kerana ketandusan idea.
Beliau mengambil contoh dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Kelantan yang memberi cuti bersalin 90 hari serta beberapa dasar yang lain yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Kerajaan Umno-BN memperkenalkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan mereka ketandusan idea dan terkebelakang dalam isu menguruskan kebajikan untuk rakyat," ujar beliau lagi.
Berhubung isu tanah yang diberikan kepada masyarakat Cina yang sebelum ini dipolitikkan oleh pemimpin Umno-BN yang dianggap tidak sah, hari ini pula Zambry mengumumkan hal yang sama tanpa dipertikaikan oleh pemimpin Umno yang sama, kata Idris.
Selasa lalu Zambry mengumumkan 1,012 hektar tanah akan diberikan bagi menampung perbelanjaan sembilan sekolah Cina bebas di negeri itu.
Pengumuman itu dibuat oleh Exco Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

- Suara Keadilan

0 Komen pengunjong :