'Selamatkan Selangor' tapi hentam Anwar dan Malaysiakini

Jelajah pertama 'Selamatkan Selangor' bermula dengan siri menghentam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan portal berita Malaysiakini, terutama oleh bekas 'ayam tambatan' ketua pembangkang itu, Ezam Mohd Noor.

Di pentas Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) di Shah Alam malam tadi, kira-kira 250 penyokong BN turut dihidangkan dengan tayangan video 'Tak Nak AI' (Anwar Ibrahim).

Ia antaranya cuba membandingkan sikap Anwar melalui ucapannya semasa masih menjadi timbalan perdana menteri dan selepas menjadi penasihat PKR - parti dominan dalam Pakatan Rakyat.

Menurut video itu, Anwar digambarkan sebagai pengkianat, tidak setia pada perjuangan Melayu dan 'memuja' DAP yang suatu ketika dahulu pernah dikritiknya.

Tidak terkecuali, petikan ucapan Zulkifli Noordin - bekas peguamnya dan ahli parlimen yang keluar PKR - yang lantang mengkritik kepimpinan Anwar turut disiarkan.

Ezam yang berkongsi pentas dengan pemimpin utama Umno negeri - antaranya timbalan pengerusi perhubungan Datuk Seri Noh Omar dan timbalan Ketua Pembangkang Datuk Satim Diman - mengaitkan Anwar dengan Yahudi.


Ezam antaranya mengulangi dakwaan bahawa Anwar pro-Yahudi, yang boleh dibuktikan dengan tindakan cuba memujuk kumpulan itu di Amerika Syarikat, seperti dilaporkan Washington Post.

Bagaimanapun, menurut Ezam lagi, tindakan itu tidak boleh disamakan dengan tindakan kerajaan pusat yang mendapatkan khidmat perunding antarabangsa Apco Worldwide.

"Bezanya Apco ini kerja untuk kita," katanya yang mengaku pernah mendapat layanan istimewa daripada negara kuasa besar dunia itu semasa menjadi "jeneral" Anwar.

Beberapa kali menegaskan masuk Umno tidak melibatkan wang, Ezam juga menceritakan perjuangan dan jasanya "mempertahankan prinsip" bersama PKR suatu masa dahulu, termasuk merengkok di penjara dan menjana penubuhan parti itu di peringkat Selangor.

"Saya tinggalkan PKR dan Anwar tidak melibatkan satu sen (wang) pun, demi Allah!" katanya.

Menyentuh soal Malaysiakini, beliau mendakwa portal berita bebas itu sebagai alat kepada Anwar, antaranya kerana laporannya berhubung 'persaingan' antara Noh dan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Khir Toyo.


"Kenapa lapor Umno Selangor nak gaduh pasal isu pasir? Sebab tuan dia (Malaysiakini) sama kepala dengan Anwar Ibrahim," katanya sambil mengaitkan Malaysiakini dengan George Soros.

Turut berucap dalam program di perkarangan Tabika Kemas di Seksyen 17, Noh, Satim dan ketua penerangan Umno negeri Shukor Idrus.

Bagaimanapun, ucapan ketiga-tiga pemimpin tersebut banyak menyentuh isu pentadbiran pasir di negeri itu melalui penubuhan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) oleh kerajaan Selangor.

Bukan sahaja KSSB dijenakakan sebagai singkatan kepada 'Korek Selangor Sampai Berlubang dan Kebas Sebelum Selangor Berubah', Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga diejek sebagai gagap.

Malah Satim dan Shukor dalam ucapannya dilihat meniru gaya 'gagap' Khalid sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Malam tadi, program SSDE itu turut diadakan di Klang dan bakal disusuli 17 siri ceramah lagi di seluruh negeri Pakatan itu sehingg 8 Ogos ini.

- Malaysiakini

0 Komen pengunjong :