BN main isu hina pemimpin politik untuk hentam Pakatan


KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua bertegas, pembangkang langsung tiada kaitan berhubung insiden pijak gambar Perdana Menteri dan isteri ketika sambutan ambang kemerdekaan pada malam 30 Ogos lalu.
“Pembangkang tidak ada kena mengena dengan beberapa individu yang memijak gambar Najib (Razak) dan Rosmah (Mansor).
“Kenapa perlu kaitkan dengan Pakatan, kita pun tidak setuju perkara itu dilakukan. Jangan buat tuduhan melulu tanpa usul periksa,” katanya ketika dihubungi.
Tian mengingatkan Umno BN supaya tidak mengalihkan isu tersebut dengan menyalahkan pembangkang.
“Kerajaan main isu ini untuk memburukkan Pakatan kerana tidak puas hati dengan kehadiran ribuan rakyat berhimpun pada Himpunan Janji Demokrasi sempena sambutan ambang merdeka lalu,” katanya.
Beliau juga menggesa polis mengambil tindakan serupa terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab memijak gambar pemimpin Pakatan.
“Jika Umno BN prihatin dengan isu seumpama itu, kenapa polis tak siasat kejadian serupa ke atas pimpinan Pakatan?
“Kalau begini cara kerajaan tangani isu, memang ia tidak konsisten. Bila melibatkan kerajaan atau polis sekalipun, mereka boleh tutup mata.
“Jika mahu saya senaraikan perbuatan jahat terhadap pimpinan Pakatan, memang banyak…bukan setakat pijak gambar, tapi sehingga bakar, menulis perkataan kesat dan sebagainya,” jelas Tian.
Sebelum ini, kumpulan anak muda yang terlibat dalam insiden tersebut semasa menyambut ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka memberitahu bahawa mereka tidak mewakili parti politiK dalam tindakan membawa bendera Sang Saka Malaya dan memijak gambar pemimpin nombor satu negara.
Kerajaan Umno BN sengaja menimbulkan isu tersebut dengan menyalahkan pembangkang dengan membangkitkan isu perkauman bagi mengapi-apikan semangat cintakan demokrasi.
.

0 Komen pengunjong :