JOHOR BAHRU: Puluhan ribu rakyat Johor membanjiri
Dataran Dahlia malam tadi bagi menyertai Himpunan Hijau ke Putrajaya
yang turut membariskan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Sambutan ini disifatkan oleh pelbagai pihak sebagai kesediaan PAS
untuk membentuk kezahiran bermakna parti Islam itu di Johor dan membantu
Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
Majlis yang bermula 7 malam dengan solat Maghrib dan solat Munajat
dan Tahlil itu turut menyaksikan penyerahan borang menyertai PAS oleh
Hairie Othman, pelakun filem Bukit Kepong.
Majlis ini menjadi tumpuan kerana sebelum ini isu Bukit Kepong
menjadi momokan Umno di Johor kononnya timbalan presiden PAS, Haji
Mohamad Sabu menyokong Komunis apabila beliau memuji peranan Mat Indera
dalam satu ceramahnya.
Ia menjadi sebaliknya apabila pihak yang membuat laporan polis
terhadap kes ini memohon maaf kepada Mohamad di mahkamah dan mengaku
laporan polis yang beliau buat berdasarkan laporan media Umno iaitu
Utusan Malaysia semata-mata.
Sepanjang berada di Johor, Tuan Guru Nik Aziz juga sempat mengimamkan solat Jumaat di Masjid Jamek Pasir Gudang.
Beliau mendapat sambutan hangat dari masyarakat tempatan apabila mereka berebut-rebut mahu bersalam dengan beliau.
Himpunan Hijau kali ini disertai juga Jamuan Anak Kelantan di Perantauan yang diadakan di Taman Kempas Permai.
Turut diadakan adalah jamuan makan malam bersama masyarakat Cina yang
diadakan di sebuah restoran terkenal di Danga Bay dekat sini.
Di pentas utama di Dataran Dahlia, anggota Parlimen Kubang Kerian,
Salahudin Ayub secara rasmi diserahkan kepada Johor kembali apabila Tuan
Guru NIk Aziz melakukan upacara penyerahan rasmi itu.
Dengan ini, segala berita-berita angin menjadi sahih, Salahudin akan
bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dengan
diserahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan kepada Pesuruhjaya PAS
Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.
Para pemerhati politik berpendapat, dengan lambatnya pilihan raya
umum membolehkan mementum PAS malam tadi dikembangkan ke seluruh Johor.
Ini kerana, jika Pakatan Rakyat mahu ke Putrajaya, sumbangan
sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen diperlukan Pakatan dari Johor.
.
0 Komen pengunjong :