Umno guna taktik PRU 2004 untuk tawan kembali Selangor


KUALA LUMPUR — Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno akan menggunakan taktik merampas Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2004 untuk menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 kali ini yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurut Ahli Parlimen Marang ini dipetik Harakah Online, ketika PRU 2004, Terengganu tewas bukan atas faktor rakyat, sebaliknya Umno mengangkut masuk pengundi luar untuk mengundi di Terengganu.
“Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk.
“Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini,” kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.
Ketika pilihan raya pada 1999, PAS telah memperolehi 28 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri tersebut, namun ketika PRU 2004, parti Islam itu hanya berjaya mengekalkan empat daripada keseluruhan kerusi berkenaan.
Jelas Hadi, “postmortem” yang dibuat PAS selepas pilihan raya umum 2004 mendapati beberapa kawasan di Terengganu berlakunya peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS.
Terdapat juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus.
“Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, kerajaan PAS di Terengganu jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi Parlimen Kemaman, turut berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu.
“Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999).
“Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama,” kata beliau dalam wawancara khas itu.
Jelasnya lagi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menggunakan jentera kerajaan untuk menghadapi pilihan raya.
“Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatutnya tak berlaku macam itu kerana  masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara),” tegasnya.
BN juga, jelasnya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media sama yang bukannya milik BN.
“Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu,” tambahnya lagi.

1 comment :

  1. Org2 SPR ni dibayor gaji untuk buat keje kotor ke? Dengan sistem perundangan & kehakiman, SPR, JPN dan SPRM memang Malaysia ni dah hencur.Harap BN ni lingkup laaa

    ReplyDelete