Bersih 3.0 bukan ancaman keselamatan negara


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak sepatutnya menghalang Perhimpunan Bersih 3.0 yang dirancang untuk diadakan pada jam 2 petang 28 April depan, kerana Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussien sudah memperakui,  ia bukan suatu ancaman kepada keselamatan negara.

Hishamuddin dalam suatu kenyataan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melihat perhimpunan "duduk bantah" Bersih 3.0 sebagai ancaman kepada keselamatan kerana ia didakwa hanya mempunyai sedikit daya tarik kepada orang ramai.

Katanya, perhimpunan itu tidak ikhlas kerana ia bermotifkan politik kerana dimasukkan bersama beberapa isu, termasuk ISA, pinjaman pelajaran dan Lynas.

Kita tidak menafikan bahawa memang Perhimpunan Bersih 3.0 bermotifkan politik. Iaitu untuk memastikan sistem politik dan parti politik yang menerajui pemerintahan negara, diamalkan secara telus dan demokratik.

Bersih 3.0 diterajui sekelompok NGO yang mendapati sistem politik dalam negara kita terlalu tercemar dan kotor.

Sistem politik asalnya tidak kotor. Ia dikotorkan ahli-ahli politik. Ianya kotor kerana sikap ahli politik yang rakus dan tamakkan kuasa, sehingga sanggup membelakangi norma-norma moral serta kehidupan.

Dalam hal ini, rakyat terpaksa berhadapan dengan kerakusan ahli-ahli politik Umno-Barisan Nasional. Mereka memanipulasikan  segenap ruang yang ada untuk mengekalkan kuasa mereka.

Kuasa yang mereka nikmati sejak sebelum merdeka sehingga sekarang, tergugat dengan kebangkitan kuasa rakyat pada PRU, 8 Mac 2008.

Dengan Jumlah kerusi Parlimen yang hampir sama dengan Pakatan Rakyat, disertakan dengan kekalahan di beberapa buah negeri, BN cukup gementar untuk menghadapi Pakatan pada PRU kali ini.

Mereka gementar kerana natijah daripada PRU  2008 tersebut membuktikan, BN sebenarnya tidak kuat. Mereka kelihatan kuat, hanya kerana didokongi polis, tentera (menerusi undi pos), SPR, Jabatan Penerangan, media dan pelbagai institusi kerajaan.

Umno-BN secara one-to-one, tidak mampu berhadapan dengan Pakatan dalam pertembungan sebagai parti politik. Mereka tiada kekuatan sebenarnya. Mereka tempang jika tidak didokong jentera kerajaan.

Umno-BN sedar bahawa, mereka menang saban kali PRU kerana banyak ruang demokrasi disekat dan ditutup.

Kebebasan bersuara disekat. Parti-parti pembangkang tidak diberi ruang untuk berwacana secara adil dan saksama dalam media cetak dan elektronik.

Dengan taktik mengehadkan demokrasi ini, Umno-BN sebagai kerajaan, dapat menutup segala kelemahan dan pelbagai penyelewengan, salahguna kuasa serta rasuah yang dilakukan pemimpin mereka.

Sebagai contoh, pemimpin Umno-BN Terengganu memaki hamun Sultan dengan menggelarkan Raja mereka sebagai binatang, dengan melakukan demonstrasi di hadapan istana, tidak dianggap suatu kesalahan.

Tetapi sedikit bisik-bisik pemimpin Pakatan di majlis Istana, digembar gemburkan dengan begitu besar, seolah-olah wujud penghinaan kepada Raja.

Sifat 'celaka' ini diamalkan secara berleluasa, dalam segenap aspek, semata-mata untuk memburuk-burukkan Pakatan, dalam masa yang sama cuba mensucikan Umno yang berada di dalam kekotoran.

Justeru pada 28 April ini, rakyat yang semakin muak dengan amalan 'politik longkang' Umno-BN, akan berhimpun Duduk Bantah di Dataran Merdeka.

Umno-BN tidak berani menghalang Perhimpunan Bersih. Mereka cuba bermain 'silap mata' dengan mengatakan mereka tiada masalah untuk membenarkan rakyat berhimpun.

Tetapi kata mereka, itu hak polis dan DBKL untuk memberi kebenaran. Rakyat tidak bodoh macam pemimpin Umno-BN. Rakyat tahu, mereka yang terdiri daripada ahli politik longkang inilah, yang mengarahkan pihak berkenaan menghalang perhimpunan.

Sama ada dibenar atau tidak. Sama ada diancam atau tidak, jentera yang diterajui Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said tidak akan berundur.

Kami akan pastikan 28 April ini, Dataran Merdeka dibanjiri lautan rakyat yang mahukan sistem pilihan raya diperbaiki dan dipelihara dari sebarang manipulasi.

Jom Bersih 3.0. Duduk Bantah demi keadilan dan hak rakyat. Hidup rakyat!

0 Komen pengunjong :