Majlis bertunang anak tikam Najib


KUALA LUMPUR, 14 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kontroversi majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib Tun Razak semakin mendapat perhatian ramai pihak.

“Isunya adalah kos sebanyak RM409,767 yang kosnya didakwa dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri berdasarkan kepada bil yang dihantar,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Katanya, walaupun ia kemudiannya dinafikan oleh pihak Hotel Shangri-La Kuala Lumpur yang menjelaskan ia adalah kos Najib sendiri, isu itu masih tidak mampu menutup kontroversi yang semakin berpanjangan.

Beliau berkata, isu penting yang perlu diberi perhatian adalah kos majlis tersebut yang menelan belanja sebanyak RM409,767 bagi sebuah majlis pertunangan.

Menurutnya, walau siapa pun yang membayarnya, kos perbelanjaannya dianggap amat tinggi dan keterlaluan.

Bagi rakyat umum, kata Riduan ia adalah suatu belanja super mewah dan melampau.

Tambahnya, ramai terlopong mulut mendengar hampir setengah juta ringgit dibelanjakan semalaman untuk perbelanjaan majlis pertunangan anaknya.

“Bayangkan jika majlis pernikahan atau majlis resepsi yang akan diadakan nanti, berapa ratus ribu atau juta pula akan dihabiskan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, meskipun Najib mungkin menyatakan beliau mampu untuk membiayai majlis tersebut atas kapasiti peribadinya, namun ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Riduan menambah, di mata rakyat bawahan, ianya juga adalah simbol pembaziran dan melampau oleh pemimpin negara, dan mungkin ia adalah simbol kebencian rakyat terhadap pemimpin negara yang suka hidup bermewahan.

“Dalam keadaan Perdana Menteri mengumumkan kerajaan pimpinannya menggunakan pendekatan wasatiyyah (sederhana), isu kos majlis pertunangan anaknya seakan menikam balik segala kenyataannya.

“Bagi Datuk Seri Najib, itu mungkin wasatiyyah yang cuba ditonjolkan, tetapi tidak bagi rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam keadaan rakyat semakin tersepit dengan kenaikan kos sara hidup, rakyat tidak boleh menerima pemimpin mereka hidup umpama di puncak kayangan.

Menurutnya lagi, majlis tersebut pula adalah majlis high profile yang dihadiri oleh pemuka, golongan elit korporat serta mereka yang ternama, dan tiada ruang untuk rakyat jelata dijemput hadir bagi memeriahkannya.

Tambahnya, tidak sesuai juga bagi para ulama, pendakwah serta mereka yang cintakan Islam hadir majlis seperti itu.

“Tahniah Datuk Seri Najib kerana berjaya menunjukkan contoh wasatiyyah terbaik untuk diteladani oleh rakyat,” ujarnya.

0 Komen pengunjong :