Kenyataan penuh Anwar isu Israel - Palestin


KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan beliau yang disiarkan Asian Wall Street journal secara jelas menyatakan sokongan terhadap perjuangan dan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan dan keamanan, serta maruahnya dihormati.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar menegaskan pendirian itu selari dengan pandangan pimpinan dunia Islam seperti kerajaan Arab Saudi yang diungkapkan menteri luarnya, Putera Saud al Faisal dan pemimpin Jordan, Raja Abdullah.
Makanya, katanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru.
Menurutnya, beliau juga menghargai pandangan dari Pas, seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.
Anwar berkata, beliau juga memahami pendirian Pas mengenai isu itu namun menegaskan KEADILAN turut berkongsi hasrat yang sama untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.

Berikut kenyataan penuh Anwar:
Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel).
Sedangkan kenyataan penuh selepas itu, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.” (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya.
Media, pimpinan Umno dan Datuk Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.
Kenyataan saya kepada ASWJ secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin.
Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan menteri luarnya, Putera Saud al Faisal bahawa:
“This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. Israel can’t keep the land and want security at the same time. It has to withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, the Arab states will put an end to the state of war. That will give Israel its security”.
Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:
“The Palestinian right to statehood and their cry for justice and a homeland free of occupation remain the Arab people’s foremost cause. In Jordan, the “final-status” issues-including borders, refugees, security and Jerusalem-are at the heart of our priorities. This means making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status issues and guarantees security for Israel.”
Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru.
Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan dari Yasser Arafat.
Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, perdana menteri palestin:
“If Israel withdraws to the ’67 borders, then we will establish a peace in stages.. Number one, we will establish a situation of stability and calm which will bring safety for our people – what (Hamas founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If Israel declares that it will give the Palestinian people a state and give them back all their rights, then we are ready to recognise them”.
Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.
Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. PAS berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.
Walaupun begitu KEADILAN berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.
Ini berbeza dengan adu domba Umno yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka. Tatkala media Umno menyerang saya sebagai ejen Israel, menteri luar dari Umno secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, menteri pertahanan dari Umno jugalah yang duduk berbincang dengan menteri pertahanan Israel pada tahun 2009, walaupun perkara ini cuba dipadamkan. Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua perlindungan dan keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat mejar jeneral.
Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu perdana menteri israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994. Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan Umno bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke015 terbesar. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.
Sikap bermuka Umno dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di Palestin.
Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi.
Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan masuk ke Gaza akibat sekatan Israel. Sengsaranya rakyat Palestin bila mana 80 peratus dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90 peratus hidup dalam kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari dan lebih 60 peratus kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.
Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai. Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.
Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama tersebut. Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan
keselamatan rakyat Palestin.
Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini. Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin. Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf.
Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.”
(Pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).

0 Komen pengunjong :