Tahan 13 bukti Putrajaya tidak ikhlas mansuh ISA


KUALA LUMPUR, 18 Nov — Pemuda PAS mendakwa tangkapan terbaru membabitkan 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah bukti kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) terus mempermainkan kesabaran rakyat meskipun pentadbiran Najib menjanjikan transformasi politik.
Dalam ucapan sempena Hari Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan pemansuhan akta itu selari dengan transformasi politik kepimpinannya.
Dua akta baru akan menggantikan ISA tahun depan.
Ketuanya Nasrudin Hassan berkata perkembangan terbaru ini bukan sahaja satu bukti kerajaan BN tidak serius dan jujur menghapuskan akta zalim itu, tetapi juga terus mendera dan membuli rakyat sendiri.
“Selayaknya kerajaan tidak lagi menggunakan ISA setelah komitmen untuk memansuhkannya telah dipertegaskan oleh Datuk Seri Najib sendiri,” kata beliau ketika mengulas penahanan 13 individu mengikut ISA di Tawau, Sabah minggu ini.
Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan tersebut kerana mereka disyaki terbabit dalam kegiatan subversif, termasuk cubaan menghidupkan kegiatan militan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.
Beliau berkata semua individu terbabit iaitu tujuh warga tempatan dan enam warga asing yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an ditahan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman dalam operasi tiga hari bermula 14 hingga 16 November lalu hasil maklumat risikan.
Justeru kata Nasrudin, apa yang dijanjikan oleh Najib sungguh meragukan.
“Tidak mustahil komitmen kerajaan BN dalam perkara-perkara lain seperti mahu memansuhkan PPSMI dan melakukan reformasi (undang-undang) pilihan raya juga hanya satu retorik yang memperdayakan rakyat,” jelasnya.
Katanya lagi, jika benar kerajaan BN konsisten untuk memansuhkan ISA, Dewan Pemuda PAS menggesa kesemua mereka termasuk seorang pendakwah Nazri Dollah dan jika ada pertuduhan ke atas beliau, maka hendaklah didakwa di mahkamah, bukan dikurung tanpa sebarang perbicaraan.
Serentak dengan itu, Nasrudin mengajak seluruh rakyat bangkit membantah dan menolak kerajaan ‘flip-flop” ini khasnya anak-anak muda demi masa depan rakyat dan negara yang lebih baik, aman dan sejahtera dari kezaliman yang dihasilkan oleh kerajaannya sendiri jika kerajaan BN berdegil tidak membebaskan 13 individu berkenaan.
Beliau bimbang sekiranya rakyat membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh kerajaan BN ini, tidak mustahil selepas ini PSC pula akan menjadi mangsa manipulasi kerajaan “flip-flop” ini.
“Melalui perkembangan ini setelah PPSMI dan ISA, saya jangka langkah untuk reformasi sistem pengurusan pilihan raya juga akan mengalami nasib yang sama. Akan cair dipertengahan jalan,” jelasnya lagi.

0 Komen pengunjong :