Kontrak Israel dengan PDRM: KDN dituntut penjelasan

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda (KEADILAN), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberi penjelasan mengenai hubungan polis dengan Israel.
Shamsul berkata, isu itu berhubung pendedahan beberapa blog pro Umno mengenai penglibatan Israel dalam kontrak PDRM, sekaligus
mengukuhkan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Siri pendedahan pertama hubungan dengan Israel itu mula didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat April tahun lepas, sehingga beliau digantung dari menghadiri persidangan di Parlimen.
“Saya desak KDN tampil jelaskan perkara ini kerana semakin hari ada sahaja pendedahan terbaru hubungan dengan Israel.
“Hishamuddin tidak boleh berdiam diri, beliau mesti jelaskan perkara sebenar kerana melibatkan perkara serius, jangan pula kita digelar sebagai agen Yahudi,” kata Shamsul.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan semula serangan polis semasa perhimpunan aman, Bersih pada 9 Julai lalu yang didakwa menggunakan kanister yang sama diguna Israel terhadap rakyat Palestin.
“Isu kanister ini boleh dijadikan bahan bukti kerana ianya digunakan pihak Israel terhadap Palestin,” katanya.
Minggu lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak agar siasatan dijalankan ke atas dakwaan berhubung penyelewengan dan penglibatan pihak Israel dalam kontrak PDRM.
Dalam laporan polisnya, ketua pemuda pertubuhan itu, Irwan Fahmi Ideris berkata siasatan perlu dijalankan ke atas dakwaan pengagihan dan pemberian projek melibatkan polis Bukit Aman.
Namun, tindakan Perkasa itu dilihat terlalu lambat memandangkan isu itu mula ditimbulkan Pakatan Rakyat sejak lebih setahun lalu.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April tahun lalu mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan polis yang telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.
Anwar berkata penglibatan syarikat berkenaan adalah melalui subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital.

0 Komen pengunjong :