Isteri Sarbani Mahu RCI Siasat Punca Kematian Suaminya


KUALA LUMPUR  : Isteri kepada Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed yang kecewa dengan siasatan polis menyiasat punca kematian suaminya yang dijumpai mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur mahu kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi tujuan itu.


"Inkues tidak menyiasat secara serius kemungkinan ada unsur jenayah. Saya mahu Suruhanjaya Diraja. Ini kali pertama saya tuntut Suruhajanya Diraja,” katanya selepas membuat laporan di balai polis Kelana Jaya pagi ini.


Maziah Manap juga meminta polis menyiasat semula kes itu berikutan pendedahan oleh blogger terkenal, Raja Petra Raja Kamaruddin yang menulis di blognya bahawa seorang pegawai SPRM mengarahkan penolong pengarah Kastam itu berdiri di kaki lima tingkap bilik pantri sebagai 'hukuman' kerana menukar pengakuannya dalam kes rasuah yang disiasat.


Dakwanya, apa yang berlaku semasa inkues sekarang sama seperti yang didakwa oleh Raja Petra.


Dalam lapan entrinya, Raja Petra antara lain berkata, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbani ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.


“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).


“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbani memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.


“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbani tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.


Dakwaan ini dikatakan dalam tulisannya ketika inkues masih berjalan. Inkues yang sedang berehat dua minggu akan disambung awal bulan depan.


Sarbani, penolong pengarah kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela untuk menukar pengakuannya.


Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

0 Komen pengunjong :