Anwar : Tahan Bawah Ordinan Darurat Hina Amalan Demokrasi Negara

PETALING JAYA 3 JULAI : Penahanan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat adalah satu penghinaan terhadap sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kata Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Menurut Anwar, Dr Jeyakumar yang dipilih sebagai ahli parlimen oleh rakyat berhak untuk menyuarakan hasrat komuniti itu yang menuntut sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.


“Beberapa hari ini pihak pemerintah cuba memintal fitnah dengan mengaitkan tuntutan pilhan raya yang bersih dan adil dengan gerakan subversif.


“Sedangkan sudah beberapa kali Sekretariat Bersih menegaskan perhimpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai ini merupakan perhimpunan aman. Malah Sekretariat Bersih sedaya upaya berbincang dengan pemerintah agar tuntutan berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan,"kata Anwar.


“Akan tetapi gesaan dan tuntutan itu ditolak dengan penuh keangkuhan. Sewajarnya pemerintah tidak perlu gentar dengan tuntutan yang berharap membawa kebaikan buat rakyat dan negara Malaysia,” tambah beliau lagi dalam satu kenyataan media hari ini.


Justeru Anwar menggesa kerajaan pemerintah segera melepaskan kesemua tahanan yang ditahan semalam.


“Saya juga menuntut pemerintah menghormati dan mematuhi prinsip Kedaulatan Undang-Undang serta Perlembagaan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Selain ahli parlimen Sungai Siput, turut ditahan di bawah akta zalim tersebut ialah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu.


Keenam-enam mereka ditangkap semula mengikut Ordinan Darurat (EO) sebaik dibebaskan pada jam 2 petang semalam dan di bawa ke ibu pejabat polis di Bukit Aman di Kuala Lumpur pada lewat petang.


Mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditahan di plaza tol Sungai Dua pada 25 Jun lalu ketika menaiki bas yang menuju ke Pulau Pinang untuk menyertai kempen "Udah La Tu Bersaralah".


Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.


Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari.

0 Komen pengunjong :