Rafidah: ‘1Melayu, 1Bumi’ jejas 1 Malaysia Najib


Gerakan idea “1Melayu, 1Bumi” boleh jejas gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata bekas menteri Kabinet pusat Tan Sri Rafidah Aziz.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berharap orang Melayu tidak terikut-ikut dengan idea tersebut kerana ia boleh menggugat perpaduan yang semakin kukuh di negara ini.
Dipetik Bernama beliau berkata, 1Malaysia adalah satu gagasan yang cukup jelas dan tidak menjejaskan kepentingan mana-mana kaum di negara ini.
“Ia bukan sekadar satu slogan, tapi realiti yang perlu dicapai bagi memastikan perpaduan dan kestabilan dalam negara dapat diwujudkan,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Cheras hari ini.
Idea itu dilontarkan oleh editor Utusan Malaysia dua minggu lalu dan disahut oleh Perkasa.
Rafidah diminta mengulas saranan bahawa Umno perlu melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi”.
Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata, 1 Malaysia yang membawa gelaran “Melayu Malaysia”, “Cina Malaysia” dan “India Malaysia” perlu diteruskan.

0 Komen pengunjong :