KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada musuh politik Pakatan Rakyat supaya segera menghentikan politik kotor dan lucah dan tidak mengheret rakyat dan negara, ke dalam politik kotor mereka.
Ketua Umum KEADILAN itu turut mengecam konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan diri dan keluarganya, juga melibatkan anggota polis dari Cawangan Khas (SB).
“Visual yang ditayangkan tengah hari tadi di (Hotel) Carcossa merupakan satu rekayasa jahat musuh politik yang berhasrat untuk membantutkan kemaraan Pakatan Rakyat.
“Tayangan tengahari tadi kelihatannya dirancang dengan penuh teliti. Rancangan untuk mengadakan tayangan ini hanya didedah kepada ketua-ketua editor media arus perdana terlebih dahulu,” katanya dalam blog beliau.
Anwar berkata, fitnah terbaru itu muncul ketika pendakwaan kes Fitnah II pasti berkecai dan hampir pasti tewas.
“Kerana terdesak, musuh politik saya terpaksa mereka fitnah baru demi memburukkan serta menjejaskan reputasi saya,” katanya.
Beliau percaya tayangan video fitnah itu bertujuan mengalih perhatian rakyat dari isu nasional dan pilihan raya negeri Sarawak.
“Musuh politik Pakatan Rakyat terdesak untuk lari dari membahaskan rasuah dan kepincangan pentadbiran Taib Mahmud.
“Maka. tidak hairanlah sekiranya sekali lagi musuh politik bertindak menurut warisan politik usang yang jelik,” katanya.
0 Komen pengunjong :