Isu agama, tanah tak selesai selagi Umno berkuasa – Anwar


KOTA KINABALU: Selagi Umno Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa, jangan harap isu agama dan tanah adat di Sabah dapat diselesaikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata  isu tanah adat tidak pernah selesai sepanjang pentadbiran kerajaan Umno BN, seolah-olah negara masih diperintah penjajah.
“Di Malaysia, bicara soal tanah macam berada bawah penjajah. Yang nak rebut tanah ini, apa dia? Kita ini diperintah oleh siapa? Yang susah sangat, yang kita minta ini, tanah orangkah? Kita mintak tanah kerajaan? Tidak.
“Kita hanya nak pertahan hak kita dan tanah kita. Itu pun bergelut setengah mati,” katanya pada ceramah perdana di Karamunsing di sini, malam tadi, sempena program forum Tanah Adat: Isu, Polisi dan Cabaran di Sabah.
Program lawatan itu juga bersempena Konvensyen Sabah hari ini. Turut hadir, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Fuziah Salleh, Ahli Majlis Presiden Sabah dan pimpinan KEADILAN negeri.
Dalam majlis itu, Anwar turut menerima sembilan memorandum daripada wakil-wakil orang Asal dari seluruh Sabah.
“Soal tanah tak boleh diselesai oleh satu kaum. Soal pentadbiran bersih tak boleh dijamin oleh satu kaum,” kata Anwar lagi, merujuk kepada Umno yang kerap memainkan sentimen Melayu bagi meraih sokongan politik.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Umno kerap menggunakan sentimen keagamaan apabila mencetuskan isu penggunaan nama Allah dan terbaru, pengharaman kitab Injil yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Justeru, beliau mengingatkan semua kaum di Sabah supaya bersatu dan tidak terpedaya dengan strategi Umno yang sentiasa mewujudkan sengketa  dan syak wasangka antara satu sama lain.
Beliau juga meminta rakyat beragama Islam berhati-hati dalam menangani isu penggunaan nama Allah, malah turut mengulangi fatwa ulama terkenal dunia, Dr Sheikh Yusuf Al Qaradawi.
“Saya jumpa dia (Qaradawi) di Qatar. Saya tanya dia, dia jawab, apa masalahnya? Dia hairan. Dia jawab, Muhammad itu rasul kita, bapanya nama Abdullah, Muhammad menjadi Rasul masa umur 40 tahun. Maknanya, 70 tahun, 80 tahun sebelum itu, orang Arab sebelum Islam sudah mengguna nama Allah. Macam mana kita nak sekat?
“Saya nak sebut isu nama Allah ini supaya clear. Mengapa kita pertikai yang Umno dan BN tak dapat selesai. Jangan nak selesai soal besar lain, soal ini pun dia tak dapat selesai.
“Isu agama, kamu (Umno BN) tak boleh selesai, Kamu ingat isu tanah boleh selesai? Justeru, kawan-kawan kena fikir, nombor satu – tukar Umno BN,” kata Anwar.

0 Komen pengunjong :