SPR sebelum ini menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu.
Beliau berkata, SPR yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilihat seolah-olah sengaja menyusahkan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat setiap kali pilihanraya kecil diadakan.
Salehuddin berkata, apabila berdepan pilihan raya kecil di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja sedangkan apabila di kerusi Barisan Nasional(BN), tindakan sebaliknya dilakukan SPR.
"Kita melihat ini 'double standard'. Kita juga lihat jika pilihanraya dilakukan di negeri Pakatan Rakyat maka ia akan menjadi suatu yang lumrah ia akan dilakukan oleh SPR pada waktu berkerja. Tetapi pada negeri Barisan Nasional ia mengadakan penamaan calon dan buang undi di hari cuti hujung minggu. Ini semacam rancangan sengaja untuk menyusahkan pihak Pakatan Rakyat," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Namun pihaknya sudah bersedia menghadapi pilihanraya kecil tersebut dengan mempersiapkan jentera di semua peringkat khususnya di negeri Johor.
Malah beliau berkata, kesemua jentera yang ditugaskan sedang menempatkan kedudukan di kawasan masing-masing.
"PAS telah menjanjikan suatu keyakinan bahawa kita boleh melakukan sesuatu untuk mencipta sejarah pada PRK Tenang ini. Kita juga telah menyatakan komitmen yang tinggi terhadap pilihanraya kali ini. Pilihanraya ini merupakan satu 'gendang perang' ke arah kita menghadapi pilihanraya umum 13," jelasnya.
Pilihanraya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.
Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008, malah ia juga yang pertama sejak pilihan raya kecil DUN Tambatan yang diadakan pada 1989.
DUN Tenang, salah satu daripada dua kerusi negeri dalam Parlimen Labis yang berjirankan kerusi Parlimen Pagoh yang bersempadankan kawasan Parlimen Pagoh di sebelah barat, Parlimen Sekijang di utara dan negeri Pahang di sebelah timur.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07%).
Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.
-/ TVSelangor
0 Komen pengunjong :