Perlantikan Khusrin: Seolah Sabotaj Kerajaan Negeri




SHAH ALAM 29 DIS : Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kelayakan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK)Selangor yang baru mula dipertikaikan, antaranya ekoran 'kontroversi' yang melingkarinya.

Menurutnya, sikap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor  "yang seolah-olah ingin sabotaj" kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor selama ini hendaklah diambil kira.

Beliau dalam kenyataan itu mendakwa Khusrin melobi program Umno dijalankan di sebuah masjid di Taman Medan Ramadan lepas serta "ingkar" keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menimbulkan kontroversi lawatan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang.

"Sebelum itu Khusrin 'menempa nama' dengan kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam majlis yang turut dihadiri wakil rakyat Pakatan.

"Adakah individu yang sanggup menjadi perkakas politik dan mempermainkan sentimen agama layak menjadi setiausaha kerajaan negeri Selangor?" soal Nik Nazmi dalam blognya hari ini.

Ujarnya lagi, Khusrin yang hanya sekadar dalam gred Jusa C sebelum melangkah ke Jusa B untuk menjawat jawatan SUK yang bergred Jusa A.

"Beliau sekadar menghabiskan 3 daripada 27 tahun perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di peringkat persekutuan, selebihnya cuma berkhidmat di negeri Selangor.

"Seolah-olah kelayakan Khusrin hanyalah sikapnya yang memang menentang Kerajaan Negeri yang diambilkira!" sindir Nik Nazmi.

Mengulas berhubung pihak yang berhak melantik jawatan SUK - sama ada kerajaan pusat atau negeri - Nik Nazmi berkata perkara itu tidak timbul kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak menyebut kedua-dua pihak.

"Tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan perlantikan Khusrin sebagai SUK dengan hanya memaklumkan Sultan tanpa memaklumkan Menteri Besar Selangor boleh dianggap melanggar protokol," katanya.

Justeru, beliau berharap tiada pihak memainkan isu bahawa mempertikai pelantikan Khusrin sebagai anti-istana.

"Tindakan Datuk Seri Najib (Razak) yang mengheret KSN dan Istana Selangorlah yang wajar dipertikai," tambah Nik Nazmi.

0 Komen pengunjong :