Amaran Hujan Lebat, Angin Kencang Dan Laut Bergelora Sehingga Isnin



KUALA LUMPUR 30 DIS : Hujan sederhana kadangkala lebat di Pahang, Terengganu dan Johor dijangka berterusan sehingga esok, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.
Kawasan-kawaan yang terlibat di Pahang ialah daerah Jerantut, Kuantan,Maran, Pekan dan Rompin manakala Terengganu selatan di daerah Dungun dan Kemaman serta Johor Timur di daerah Mersing dan Kota Tinggi.
"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, jabatan tersebut menyatakan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan sebelum ini masih lagi dikekalkan.
Katanya angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian dari 5.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Selatan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-Layang dijangka berterusan sehingga Isnin ini. 
Menurut kenyataan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora tersebut berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Sarawak (Miri), Labuan, Sabah (Pantai Barat, Pedalaman dan Kudat), Utara Samui dan Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.
"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," menurutnya.

-BERNAMA

0 Komen pengunjong :