Bina Loji Nuklear Tidak Berdaya Maju : Penyelidik




KUALA LUMPUR 11 NOV : Rancangan untuk membina loji nuklear menjelang 2020 di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak akan berdaya maju dari segi kos, demikian menurut seorang penyelidik di bawah Program Brain Gain Malaysia.
"Dengan petunjuk trend sebelum ini, jumlah kos pelaburan yang diperlukan untuk membina loji nuklear adalah dua kali ganda kos yang diperuntukkan pada mulanya," kata David Jacobs, penyelidik dan perunding dasar tenaga bebas di Pusat Penyelidikan Dasar Alam Sekitar Freie Universitat, Berlin.
"Sebelum ini, terdapat loji tenaga nuklear yang dirancang di Finland yang jangkaan kos sebanyak 2.5 bilion euro, tetapi kos akhir melonjak sehingga 5.0 bilion euro," kata beliau siri pakar tenaga perkongsian komuniti Malakoff ketiga yang dipetik dari Bernama.
Beliau berkata ia mengambil masa beberapa tahun untuk menjayakan loji itu. Menurut buku laporan ETP, kos membina loji nuklear unit berkembar akan memerlukan pelaburan sebanyak RM21.3 bilion menjelang 2020.
Di bawah program Brain Gain Malaysia, Jacobs ditempatkan di Institut Penyelidikan dan Dasar Tenaga Universiti Tenaga Nasional selama enam minggu. 
"Dengan kos membina loji nuklear semakin meningkat, kos untuk tenaga diperbaharui turun pada masa yang sama," kata Jacobs.
"Pihak berkuasa seharusnya mengendalikan lebih banyak analisis daya maju dari segi ekonomi sebelum memulakan projek loji nuklear. Adalah lebih wajar untuk menambah dana tenaga diperbaharui untuk pembangunan sektor ini," katanya.
Menurut Jacobs, Malaysia perlu menetapkan lebih banyak sasaran yang besar bagi rancangan tenaga diperbaharui jangka panjang.
"Dengan Malaysia menyasar untuk mencapai 25 peratus jumlah penggunaan tenaga diperbaharui menjelang 2050, negara lain akan berada dalam jajaran 60 hingga 70 peratus pada masa itu," katanya. 
Jacobs berkata 5.5 peratus sasaran yang Malaysia tetapkan menjelang 2015 tentunya boleh dicapai dan negara perlu menetapkan sasaran yang lebih tinggi.


*print this page Print halaman ini

1 comment :

  1. Buatlah dulu perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada rakyat. Lepas tu barulah fikir benda-benda macam ni.

    ReplyDelete