KUALA LUMPUR: PAS menggesa Felda diletakkan di bawah Akta Parlimen berikutan kegagalan kerajaan membela nasib peneroka sejak 54 tahun lalu.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, sudah tiba masanya Felda yang kini di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) beralih tangan kerana tidak mahu hasil keuntungan Felda diseleweng dan dijadikan ‘deposit tetap’ oleh golongan tertentu yang berkepentingan.
Ahli Parlimen PAS Pokok Sena berkata, dengan peletakan Felda di bawah Akta Parlimen, lembaga tersebut perlu menghantar dan membentangkan laporan terperinci mengenai permasalahan Felda dan peneroka.
"Satu laporan terperinci tentang permasalahan hubungan antara Felda dan peneroka perlu dibentangkan di Parlimen. Ini sangat penting untuk kepentingan peneroka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas mengenai kemenangan peneroka Felda Kemahang 3 mendapat pampasan RM11juta, Mahfuz berkata alasa ketidakhadiran peguam Felda menghadiri prosiding mahakamah adalah tidak masuk akal.
"Bila Felda kalah ertinya kalahlah. Bukan kerana kes peguam tak datang atau menyalahkan peguam yang sudah meletakkan jawatan.
"Dalam rayuan, saya yakin peguam Felda sudah memberikan segala hujah tapi kalah juga. Tapi tak mengaku kalah," katanya.
Terdahulu di dalam Dewan Rakyat pagi tadi Timbalan Menteri JPM Datuk Ahmad Maslan mempertahankan Felda tidak pernah menipu peneroka berkaitan kadar perahan gred buah tandan sawit.
Menjawab soalan Ahli Parlimen PKR-Telok Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas, Ahmad mempertahankan kes Felda Sungai Koyan dan berpendirian Felda hanya akan membayar wang tanam semula kepada peneroka yang memenuhi syarat Felda, dan tidak akan membuat rayuan kes tersebut.
Penjelasan Ahmad itu bagaimanapun ditempelak beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Sementara itu, dalam sidang media berlainan Ahmad menolak tuntutan PAS yang mahukan Felda diuruskan di bawah Akta Parlimen.
"Itu tidak akan berlaku. Jika Felda diletakkan di bawah Parlimen maka agensi kerajaan lain seperti MIDA, Felcra akan turut menuntut perkara yang sama," katanya.
0 Komen pengunjong :