KUALA LUMPUR 21 Okt - Ucapan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini bahawa tidak harus ada kekangan terhadap pembabitan mahasiswa dalam parti politik bercanggah dengan pendirian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang tidak membenarkan pelajar universiti menganggotai mana-mana pertubuhan siasah.
Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional sebenarnya tidak mempunyai hasrat untuk membuka ruang tersebut kepada pelajar universiti dan kenyataan Khairy hanyalah bentuk populis untuk menarik sokongan.
"Syarat-syarat yang ditetapkan kementerian juga menunjukkan sikap 'double standard' jika mahasiswa terbabit dalam kempen pilihan raya yang membabitkan Pakatan Rakyat, mereka akan dikenakan tindakan seperti apa yang berlaku kepada empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah AUKU.
"Tetapi pada masa yang sama, dua mahasiswa UKM didapati terbabit dengan perbarisan Perhimpunan Agung Umno. Adakah mereka ini akan dikenakan tindakan?" soal beliau.
Beliau berpandangan ianya sepatutnya tidak menjadi kesalahan kerana itu merupakan hak mahasiswa untuk turut serta berpolitik tetapi pada masa yang sama, mahasiswa yang didakwa terbabit dengan Pakatan Rakyat pula dikenakan tindakan.
"Kementerian sepatutnya membuka ruang mahasiswa untuk berpolitik dan tidak sepatutnya diadakan lagi seksen dalam Auku yang tidak membenarkan atau terlibat di dalam politik.
"Apa yang jelas di sini, apabila mahasiswa terlibat dengan Umno tidak dikenakan tindakan tetapi apabila mereka menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat pula akan dikenakan tindakan," tambah Anthony yang juga merupakan Ketua Pemuda Dapsy.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai pula mendedahkan tembelang kerajaan Umno-BN apabila menunjukkan sikap berpihak apabila mengusung pelajar luar negara dengan memberikan tambang untuk menghadiri perhimpunan Umno.
"Kerajaan Umno-BN bertindak zalim terhadap empat mahasiswa UKM yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor sedangkan ramai pelajar di luar negara yang menganggotai kelab Umno dibiarkan begitu sahaja," tegasnya dalam sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.
0 Komen pengunjong :