Laporan Perubatan Saiful Hanya Dua Baris Ayat

saiful2
KUALA LUMPUR 27 OKT: Perbicaraan kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan petang tadi dengan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini menolak permohonan pihak pembela daripada mendapatkan nota klinikal yang ditulis semasa pemeriksaan perubatan dijalankan ke atas saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, hakim membenarkan pihak pembelaan untuk mendapatkan laporan awal yang disediakan oleh tiga doktor perubatan yang memeriksa Saiful pada 10 Julai, 2008.

Saksi pendakwaraya, Dr Mohd Razali Ibrahim yang memeriksa Saiful di HKL memberitahu mahkamah bahawa beliau dan dua rakan setugasnya ada mengambil nota semasa pemeriksaan yang dijalankan selama tiga jam di HKL.

Beliau bagaimanapun enggan menyemak nota tersebut untuk jawapan apabila ditanyakan soalan berulang kali oleh peguambela, Karpal Singh mengenai butiran laporan perubatan yang diberikan di mahkamah.

Karpal ditegur oleh hakim kerana bertanyakan berulang kali kepada Razali untuk mengingati dan menyatakan perincian laporan tetapi Karpal menegaskan sekiranya saksi tidak dapat mengingati sesuatu perkara, saksi boleh menyemak apa-apa nota yang diambil.

Hakim menerangkan kepada Razali bahawa beliau boleh menyemak apa-apa nota yang dibuat semasa pemeriksaan dan dengan berbuat sebegitu, pihak pembelaan dapat meminta untuk melihat nota tersebut.

"Walaubagaimanapun, kita tidak boleh memaksa anda menyemak nota tersebut," kata hakim.

"Ya, tetapi kita boleh mempengaruhi anda (Razali) dengan cara yang lembut," kata Karpal, bilik mahkamah riuh sementara dengan gelak ketawa hadirin.

Ditanyakan samada laporan ada dibuat pada 28 Julai, Razali berkata laporan hanya dibuat pada 29 Jun, bukannya 28 Jun, dan laporan awal disediakan pada 10 Julai tetapi tidak diserahkan kerana mendapat laporan analisis kimia selepas itu.

Razali juga memberitahu mahkamah terdapat dua laporan kimia diterima tetapi semasa ditanyakan sebelum ini, beliau menyatakan hanya satu laporan kimia yang diterima.

Beliau menyatakan, walaupun sekiranya mereka menerima beberapa laporan tetapi pada pandangan beliau semua itu bersamaan dengan satu laporan.

"Adakah itu bermaksud kamu menyatakan semua itu satu laporan sebab ada satu 'stack' dokumen? Saya tak faham," tanya Karpal, sekali lagi diikuti gelak ketawa dari hadirin mahkamah.

Karpal seterusnya bertanyakan samada Razali ada membaca laporan perubatan dari Hospital Pusrawi yang dibuat oleh Saiful sebelum diperiksa di HKL, beliau menjawab beliau ada membaca tetapi tidak dapat mengingat kembali secara terperinci.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga esok 8.30 pagi.

Sankara Nair, peguambela Anwar yang ditemui di luar mahkamah berkata walaupun akses kepada laporan perubatan pada 10 Julai telah dibenarkan tetapi nota pemeriksaan itu lebih penting kerana ia dapat memberitahu pelbagai perkara seperti sejarah perubatan Saiful seperti diceritakan kepada Razali pada hari pemeriksaan.

"Yang penting, kita perlu tahu 'bowel movement', satu elemen penting yang tiada dalam mana-mana laporan perubatan. Dalam laporan perubatan yang kita ada sekarang, hanya ada dua ayat mengenai sejarah kesihatan Saiful," jelas Sankara.

Beliau berkata lagi, laporan perubatan yang diterima semalam dan hari ini merupakan laporan yang sama tetapi yang anehnya ialah semalam laporan itu tanpa tandatangan dan hari ini terdapat tandatangan ketiga-tiga doktor yang memeriksa Saiful.

0 Komen pengunjong :