AUKU: Tindakan Kerajaan Dwi Standard


KUALA LUMPUR 21 OKT: Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mempersoal tindakan kerajaan berlaku dwi-standard terhadap mahasiswa yang terlibat dalam politik terutama yang membabitkan parti pembangkang dengan mengenakan  Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 terhadap mereka namun menutup sebelah mata sekiranya melibatkan Umno.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata kerajaan tidak memandang serius perkara ini walaupun disokong oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional(BN) termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri terhadap cadangan pindaan AUKU.

"Kerajaan tidak berhasrat langsung untuk membuka ruang kepada pelajar universiti. Kedua, syarat-syarat yang ditetapkan banyak berlaku "double-standard"," kata beliau di lobi parlimen pagi tadi.

Dalam sidang parlimen semalam, Anthony meminta penjelasan Menteri Pengajian Tinggi berhubung cadangan membenarkan penuntut universiti menganggotai parti politik dalam masa terdekat namun ditolak.

Beliau menambah AUKU yang dikuatkuasakan di institut pengajian tinggi tempatan seharusnya tidak bersifat pilih kasih jika kerajaan mahu akta tersebut dihormati semua pihak.

Anthony merujuk kepada laporan yang menyiarkan dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) menyertai raptai Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam namun sehingga hari ini tiada tindakan dikenakan kepada mereka.

"Bagi saya memang tidak mengharapkan tindakan dikenakan terhadap mereka kerana ini hak mereka tetapi apabila pelajar terbabit dengan Pakatan Rakyat ada tindakan. Tapi bila terlibat dengan Umno saya yakin tidak ada tindakan," ujar beliau.

Sehubungan perkara itu, beliau menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi membuka ruang kepada pelajar-pelajar universiti melibatkan diri dalam politik serta meminda AUKU secepat mungkin.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata tindakan Umno mengedarkan borang keahlian kepada mahasiswa tempatan dan luar negara tidak dipertikai mana-mana pihak.

Menurut beliau Umno sanggup membiayai tiket penerbangan mahasiswa luar negara untuk pulang menyertai perhimpunan Umno.

Sehubungan dengan itu, Izzah telah menghantar surat kepada Saifuddin bagi membincangkan akta tersebut dengan lebih lanjut.

0 Komen pengunjong :