Selangor Wartakan Sabtu Sebagai Hari Ilmu Mendalami Islam

SHAH ALAM 5 Ogos - Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor akan mewartakan setiap hari Sabtu sebagai hari ilmu bagi mengalakkan masyarakat Islam mendalami pengetahuan agama.
Program tersebut yang dinamakan Program Menyemarakkan Islam Selangor akan menyaksikan dua kuliah agama dikendalikan tokoh agama pada setiap Sabtu selama 10 minggu di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan daerah di Selangor.
Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali berkata program yang akan dilaksanakan diharap mampu menerapkan nilai serta ajaran Islam yang sebenarnya kepada umat Islam serta rakyat Selangor.
"Setiap Sabtu, 9.00 pagi hingga 11.30 pagi akan ada dua kuliah. Yang pertama, kuliah bagaimana kita melibatkan diri kita dalam perjuangan menegakkan Islam.
"Kuliah kedua pula ialah tafsiran fardhu ain yang akan disampaikan dari tokoh agama seperti Datuk Harun Din, Datuk Ismail Khamus dan Datuk Hashim Yahya," kata beliau pada Program Sahur Perdana pukul 3.30 pagi semalam.
Beliau menyatakan program tersebut akan diperluaskan ke setiap daerah di Selangor dalam tempoh enam bulan.
Program Sahur Perdana yang julung kali diadakan oleh kerajaan negeri pakatan Rakyat Selangor mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 7,000 umat Islam membanjiri Kompleks Belia di Seksyen 7.
Majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Majlis tersebut yang sepatutnya diadakan di Masjid Negeri Shah Alam bagaimanapun ditukar di saat akhir atas sebab tertentu.
Program sahur berkenaan turut dihadiri Exco Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrulamin Bahron, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Taulan Mat Rasul dan wakil kerajaan negeri Pulau Pinang.
Sementera itu Dr Badrulamin pula berkata kerajaan negeri komited membantu rakyat Palestin di Gaza yang berterusan dizalimi askar rejim Zionis.
Ini termasuk mengadakan kerjasama bagi membina kilang anggota tubuh palsu, membantu hospital, jalan raya dan sekolah, serta mengambil beberapa institusi lain di Gaza sebagai institusi angkat.
Terdahulu beliau menceritakan pengalamannya ketika berada di Gaza ketika mengikuti misi konvoi kemanusiaan ke Gaza yang diadakan awal Ramadhan ini.
Menurut Dr Badrulamin, penganjuran program membantu rakyat Palestin akan diteruskan pada masa depan dengan kerjasama para sukarelawan.
Katanya sukarelawan yang terlibat akan menyertai satu konvoi anjuran pihak Turki Oktober depan yang turut disertai ulama tersohor dunia, Dr Syeikh Yusof Al Qardhawi bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

0 Komen pengunjong :