Ugutan bunuh Pua perbuatan pengecut

Tony Pua 1SHAH ALAM: Ugutan bunuh dengan mengirim nota dan peluru M16 kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dianggap sebagai satu perbuatan pengecut.
"Dengan menakut-nakutkan Pua dengan ancaman tersebut, para petualang hanya menunjukkan sikap tidak bermoral," kata ahli exco Selangor mengenai Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Teresa Kok dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, dengan cara ini juga mereka (petualang) tidak mampu berdepan dengan Pua secara matang dan mengikut lunas-lunas keadilan.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh dan Adun Kinrara berkata, "insiden ini merupakan salah satu dari banyak lagi insiden di mana wakil-wakil rakyat dari pembangkang menerima ancaman."
Kata beliau, "dalam bulan September 2008, sebiji bahan letupan (molotov cocktail) telah dilemparkan ke dalam perkarangan rumahnya bersama nota menyebut mereka akan membakar saya dan keluarga.
"Pada September 2009, seorang yang dikenali sebagai "hanturaya" menulis dalam blog saya menyebut "teresa, kau ni perlu diajar dengan darah. Terima Kasih," tambahnya.
Menurut beliau, sehingga hari ini, para petualang yang membuat ancaman bunuh belum ditahan oleh polis.
"Saya mendesak supaya pihak polis melakukan siasatan dan membawa penjenayah-penjenayah ini ke muka pengadilan sebagai mesej kuat bahawa perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh ditolak ansur.
"Pada masa yang sama, polis mesti memastikan semua langkah perlu diambil untuk menjamin keselamatan Pua, keluarga dan kakitangannya," ujar beliau.

0 Komen pengunjong :