Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menerima surat ugutan untuk mengancamnya petang semalam. Turut dimuatkan dalam sampul surat berkenaan adalah sebutir peluru yang masih belum digunakan.
Bungkusan itu dialamatkan ke pejabatnya di Damansara dari Tangkak. Ia dibuka oleh pembantu khas di pejabatnya pada jam 4.30 petang.
Surat berkenaan berbunyi: "Lu banyak berani?
"Sekarang lu mau apa?
"Jalan sekarang mau tengok depan, belakang, kiri, kanan bawah dan atas.
"Apa pasal?
"Lu punya keluarga, rumah, pejabat, kereta - WHT ....004, wa sudah tau.
"Sendiri mau ingat. Lu fikirlah sendiri."
Pembantunya itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara kira-kira dua jam selepas itu.
Beliau yang tidak mahu dikenali itu diiringi oleh Pua dan peguam DAP, Lim Lip Eng yang juga ahli parlimen Segambut.
Dalam aduan berkenaan, pembantunya itu berkata, peluru logam dan "surat berbau ugutan" itu didakwa ditujukan kepada Tony dan keluarganya.
Polis telah mengesahkan peluru itu adalah buatan tempatan dan ia untuk kegunaan senapang M16.
Bercakap dalam satu sidang media di pejabat itu hari ini, Pua menegaskan bahawa insiden tersebut dengan jelas merupakan usaha untuk mengancam nyawa beliau dan keluarganya.
Pua yang menyifatkan insiden itu sebagai "tindakan pengecut" juga berkata, perbuatan itu mungkin berpunca daripada pandangan yang diutarakannya dalam satu majlis dialog pada 26 Julai lalu.
Jelasnya, dalam dialog Bajet 2011 kerajaan Selangor itu, beliau telah mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan diskaun Bumiputera untuk membeli hartanah mewah.
"Isu ini kemudiannya dimainkan olehUtusan Malaysia dan Umno," katanya lagi dalam sidang media yang turut dihadiri dua orang ahli parlimen Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Nurul Izzah Anwar(Lembah Pantai).
"Apa-apa yang saya cadangkan itu sepatutnya boleh didebatkan dalam suasana terbuka.
"Tidak ada cara yang boleh menjustifikasi tindakan seperti ini," katanya lagi yang mempunyai dua orang anak.
Jelasnya, cadangannya itu bertujuan supaya diskaun berkenaan digunakan untuk membantu golongan miskin dan bukan untuk terus membantu golongan berada.
Tambahnya, beliau menyerahkan cadangan tersebut untuk dipertimbangkan oleh kerajaan Selangor.
Tambahnya, usaha untuk memupuk perasaan takut seperti itu merupakan tindakan yang tidak produktif dan harus dikutuk oleh semua parti politik.
Beliau juga menyokong pandangan Pua dalam isu pemberian diskaun kepada pembeli hartanah mewah.
Dzulkefly memberi contoh -- diskaun sebanyak tujuh peratus untuk bangunan komersil bernilai RM2 juta akan memberi jumlah sebanyak RM140,000 -- yang boleh membantu ramai golongan miskin sekiranya digunakan bagi tujuan tersebut.
"Jadi terdapat banyak merit kepada cadangan itu," katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau tidak bertindak sebagai penentang hak Melayudalam menyokong cadangan tersebut.
"Sangat memalukan (sekiranya ada pihak) memutar belitkan mesej itu kerana kami semua (Pakatan Rakyat) berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan kemiskinan," katanya lagi.
Sebelum ini, Pemuda Umno Selangor pada 4 Ogos lalu, juga membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu kerana menganggap cadangan berkenaan berbahaya dan berbaur hasutan serta mencabuli perlembagaan persekutuan serta kontrak sosial.
Pada Mei 2008, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor juga menerima surat ancaman bunuh dan sebutir peluru.
0 Komen pengunjong :