Polis serbu himpunan Vigil anti ISA PJ

Belum sempat himpunan bermula, Polis berserta pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menyerbu upacara menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bagunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Akibat serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, peserta bergegas masuk ke bangunan pusat membeli belah Amcorp Mall yang bersebelahan.

Bagaimanapun pihak polis didakwa tetap mengejar mereka dan sekurang-kurangnya 12 ditahan.

Mereka termasuk pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh dan pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin, Setiausaha PSM, Arutchelvan dan koordinator Suaram, Nalini Elumalai.

Mereka difahamkan dibawa dengan trak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Menurut Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, polis membuat serbuan tanpa membuat sebarang rundingan dengan pihak GMI selaku penganjur.

Menurut Tian lagi, polis tidak sepatutnya bertindak demikian kerana program tersebut dibuat di tapak milik MBPJ dan telah mendapat kelulusan mereka.

Peserta yang berkumpul di dalam pusat membeli belah tersebut kini bagaimanapun mula bersurai.

Program sama pada malam ini turut diadakan di tujuh lagi tempat di seluruh negara bagi membantah ISA yang kini berusia 50 tahun.

0 Komen pengunjong :