Polis Ambil Sikap Politik Tangani Perhimpunan Anti ISA

IPOH 6 Ogos - Pakatan Rakyat Perak dan Gerakan Mansuh ISA menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat tindakan ganas pihak polis terhadap peserta perhimpunan aman anti ISA minggu lalu yang kini digunakan bagi kepentingan dan kelangsungan politik Umno-Barisan Nasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang sebelum itu telah memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram.
"Kami merasakan pihak polis telah bertindak melampaui batas, mereka sepatutnya menjaga keamanan dan bukan sebaliknya.
"Perhimpunan aman memasang lilin itu tidak ada kena-mengena dengan pihak polis, apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan Umno-BN memansuhkan undang-undang drakonian itu," kata beliau.
Katanya, sekiranya ada unsur yang mengancam keselamatan negara, barulah pihak polis boleh mengambil tindakan.
Tambah Lih Kang, apa yang berlaku pada perhimpunantersebut, pihak polis tidak bersikap bebas dan sebaliknya mengambil pendirian bersifat politik.
Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh pukul 11 Rabu lalu, Pakatan Rakyat dan GMI meminta Ismail disiasat kerana menyalahguna kuasa beliau dengan mengambil pendekatan kuku besi dalam menangani protes terhadap peserta anti ISA.
Ismail juga didakwa gagal menjalankan tanggungjawab memelihara ruang demokratik di Malaysia dan pada masa yang sama telah mendasarkan keputusan beliau atas pertimbangan politik dan bukan atas isu keselamatan awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat yang turun bersama rakyat untuk memberi sokongan kepada perhimpunan mansuh ISA telah dihalang masuk ke Dataran Bandaraya Ipoh apabila pihak polis bertindak menutup jalan masuk utama ke situ.
Berpuluh-puluh anggota polis telah mengepung sekitar dataran DBI bagi menghalang orang ramai daripada menghampirinya.
Polis menangkap kira-kira 30 peserta perhimpunan aman anti ISA ditahan di lapan lokasi di seluruh negara.

0 Komen pengunjong :