Hubungan intim Saiful-Farah, menafikan keadilan?

frah bukhari
Penolakan Hakim Zabidin Mohd Diah terhadap permohonan pihak pembelaan untuk membawa Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Farah Azlina ke muka pengadilan, walaupun kedua-dua mereka tidak respon terhadap dakwaan berlakunya hubungan intim di antara mereka, adalah sangat mengecewakan.
Ini merupakan satu lagi titik hitam dalam skandal sodomi II melibatkan Anwar Ibrahim yang berpanjangan hingga menimbulkan persepsi antarabangsa bahawa perbicaraan ini tidak lebih dari pendakwaaan politik terhadap Anwar.
Apa yang timbalan pendakwa raya (DPP) buat apabila dia (sama ada lelaki atau perempuan) tidur dengan pengadu dalam kes jenayah, jika tuduhan itu (tuduhan terhadap Anwar) di dapati salah? Haruskah seorang DPP terus mengherdik, menafi dan bertindak terhadap pihak yang menuduh itu?
Apa pendapat anda tentang DPP ini jika dia (lelaki atau perempuan) memilih untuk diam membisu dan pekak walaupun kontroversi yang dicetuskan oleh perbuatan salah lakunya telah menimbulkan kemarahan orang ramai, sejak tiga minggu ini?
Dan apa pendapat anda tentang Peguam Negara dan pasukan pendakwaan yang masih bekeras menyatakan mereka tidak tahu menahu tentang hubungan sulit di antara Saiful dan Farah ini?
Apa pendapat anda apabila mereka masih menegak benang basah dengan menyatakan DPP tidak melakukan sebarang kesalahan walaupun Peguam Negara bertindak pantas untuk mengeluarkan beliau (Farah) daripada pasukan pendakwaan dan juga dari bahagian pendakwaan di kamar Peguam Negara?
Kita harus ingat bahawa kita bukannya bercakap mengenai perbicaraan kes jenayah yang biasa tetapi satu perbicaraan yang penting dalam sejarah negara ini, yang melibatkan seorang ahli politik berprofil tinggi. Keputusan mahkamah ini nanti akan menentukan perjalanan sejarah negara kita pada masa depan.
Pendakwaan dicemari dengan ketidakikhlasan
Berdasarkan senario ini, bukankah menjadi tanggungjawab Peguam Negara berterus terang memberitahu rakyat sama ada dakwaan itu benar atau salah?
Apakah pilihan lain yang kita ada, selain dari meragui tujuan dan mempertikai salah laku moral pihak pendakwaan tentang kesamaran kes yang berpanjangan tetapi penting ini.
Siapakah yang akan percaya apabila ketua pendakwa, Peguam Cara Negara II Yusof Zainal Abiden menyatakan beliau tidak tahu mengenai hubungan intim ini walaupun beliau dan Farah telah bekerja bersama-sama dalam satu pasukan dalam kes ini selama enam bulan dan bertemu hampir setiap hari.
Apa yang beliau harus lakukan ialah bertanya Farah sama ada tuduhan itu benar atau salah? Takkan Yusof langsung tidak bertanya Farah atau beliau (Farah) tidak menjawabnya atau beliau (Yusof) tidak ada cara untuk memastikan tuduhan itu, kerana ini merupakan satu pembohongan.
Setelah gagal dalam ujian keikhlasan tentang hubungan Saiful-Farah ini, Yusof tidak lagi mempunyai kredibiliti apabila beliau mendakwa hubungan kotor dan tidak beretika ini tidak menyebabkan berlakunya ketidakadilan terhadap Anwar.
Pertama, kenapa beliau tidak menyuruh Farah dan Saiful memfailkan afidavit sebagai pembelaan bagi menghadapi afidavit Anwar yang memohon untuk membuang kes ini?
Tidak ada sebab kenapa pihak ketiga digunakan untuk menyanggah Anwar apabila orang yang menjadi tumpuan masih hidup dan sihat dan mampu bercakap bagi membela diri.
Dengan ketiadaan penjelasan yang memuaskan kepada situasi yang pelik ini, bolehkah kita menaruh harapan kepada afidavit pihak ketiga ini?
Kemudian, apabila gagal mendapatkan afidavit dari pengadu itu sendiri kenapa Yusof meminta pembantunya, DPP Hanafiah Zakaria dan pegawai penyiasat Supt Jude Pereira untuk memfailkan afidavit mereka, daripada melakukannya sendiri.
Memandangkan beliau adalah ketua, beliau sepatutnya lebih tahu dan kata-katanya lebih memberi kesan (authoritative)?  Atau adakah tanda lain yang menunjukkan ketua pendakwa raya ingin berdalih?
Dakwaan peranan Farah terbatas
Pasukan pendakwaan mendakwa bahawa peranan Farah sebagai pendakwa raya dalam pasukan terbatas kepada mencatat nota sahaja ketika prosiding mahkamah dan mengisytihar bahawa beliau tidak mempunyai akses kepada dokumen siasatan atau apa-apa mesyuarat sepanjang tempuh enam bulan beliau sebagai anggota pasukan pendakwaan.
Oleh itu, pasukan pendakwaan mendakwa beliau tidak tahu apa-apa yang boleh membantu Saiful atau keupayaan beliau untuk mempengaruhi sepanjang perbicaraan.
Kita harus ingat bahawa Farah adalah seorang peguam dan pendakwa yang dilantik secara rasmi untuk perbicaraan ini. Bolehkah beliau menerima penghinaan kerana hanya dibenarkan bertugas sebagai kerani dan menafikan keupayaan beliau berperanan sebagai seorang pegawai undang-undang?
Bolehkah beliau diterima sebagai kerani sahaja?  Ini merupakan satu pembaziran dari segi bakat dan dana orang ramai dan layanan yang tidak adil terhadap seorang peguam.
Kenapa Peguam Negara dan Peguam Cara Negara II melakukan sesuatu perkara yang pelik seperti ini? Bolehkah kedua-dua mereka ini menjawab soalan-soalan ini sebelum mereka mengharapkan bahawa rakyat percaya kepada apa yang mereka dakwa."
Bolehkah diterima dalam tempuh enam bulan sebagai DPP beliau tidak berpeluang untuk melihat sebarang dokumen yang relevan atau mendengar, mengambil bahagian dalam perbincangan berhubung kes ini? Adakah ada larangan keras bahawa beliau dihalang dari
semua ini? Jika tidak, mana boleh kita pastikan beliau tidak tahu apa-apa tentang kes pendakwaan ini?
Jatuh bangun kerajaan akibat hubungan asmara
Pihak pendakwaan memberi jaminan kepada mahkamah bahawa mereka pasti bahawa Farah tidak memberi sebarang maklumat kepada Saiful, di mana Saiful tidak sepatutnya tahu. Adakah mereka telah memerhati kedua-dua pasangan ini sepanjang 24 jam sehari termasuk apa yang berlaku dalam bilik tidur?  Jika tidak, macam mana mereka boleh begitu pasti?
Adakah kita begitu mentah hingga membuat kita tidak sedar betapa kuatnya pengaruh hubungan asmara di antara dua individu? Adakah kita lupa sejarah betapa banyak kerajaan bangkit dan tumbang akibat hubungan asmara yang dicetuskan di antara lelaki dan perempuan?
Jika Saiful dan Farah merupakan pasangan yang sedang bercinta, setakat ini tidak ada sesiapa yang menafikannya, tidak ada mahkamah undang-undang yang boleh menerima hakikat bahawa pendakwa tersebut tidak melanggar sebarang etika profesionnya ekoran tingkah lakunya.
Adalah menghairankan bagaimana hakim Zabidin membuat kesimpulan bahawa keadilan dapat ditegakkan dengan tidak membenarkan aktor lelaki dan aktor wanita untuk tampil ke depan memberi keterangan.
Dengan begitu banyak soalan yang belum terjawab dan kredibiliti pihak pendakwaan jatuh kepada tahap paling rendah, apa yang kita tafsirkan daripada penafian keras pihak pendakwaan untuk memanggil kedua-duanya sebagai saksi, dan dengan hakim membenarkan penolakan itu.
Adakah para pegawai telah lupa dengan angkat sumpah mereka untuk menegak kebenaran dan mempertahankan keadilan pada setiap masa? Adakah persepsi orang ramai sekarang ini bahawa mahkamah bimbang kebenaran akan didedahkan?
Memandangkan mahkamah telah menutup pintunya dari mendengar kebenaran dari mulut mereka, apa alternatif yang tinggal untuk menyelamatkan sistem kehakiman kita melainkan dengan menolak kes ini dan menyelamat keperitan rakyat di negara ini dari melihat pembikinan suatu peristiwa jahat?

0 Komen pengunjong :