DAP: Pemuda Umno dan MCA hilang taring

Keputusan kabinet melarang mahasiswa menyertai politikmenunjukkan BN langsung tidak mendengar pandangan rakyat, khususnya golongan muda yang mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di universiti tempatan, kata ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke.

Keputusan ini juga, tegasnya, membuktikan sayap Pemuda BN, khususnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenar menyertai parti politik, langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malahan, kata Loke yang juga ahli parlimen Rasah, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan tersebut, juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, DAPSY mengutuk keputusan kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan kabinet yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda, khususnya pelajar Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia," tambahnya.

Namun begitu, katanya, DAPSY akan terus mendesak supaya Akta Kolej dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

"DAPSY yakin, sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tambahnya.

Malah, kata Loke, keputusan kabinet itu akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik.

"Dan BN akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda dalam pilihanraya umum yang ke-13 kelak," tegasnya.

0 Komen pengunjong :