KUALA LUMPUR, 17 Julai — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyifatkan tindakan Adun Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias dari BN menolak pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai berfikiran sempit kerana menolak kepercayaan diberikan dewan.
Teng Chang Kim berkata tindakan Shamsudin menolak usul yang membolehkan beliau dilantik memegang jawatan itu seolah-olah mengabaikan tanggungjawab rakyat.
Ini kali pertama DUN Selangor melantik wakil pembangkang mengetuai jawatankuasa itu.
“Usul ini adalah perintah daripada dewan jadi kalau beliau (Shamsudin) tidak terima jawatan tersebut, maka beliau telah mengabaikan tugas yang telah diberikan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Bagaimanapun DUN tidak akan mengambil sebarang tindakan tetapi rakyat akan jelas bahawa Adun BN tidak mahu memikul tanggungjawab setelah mendapat sokongan penuh anggota dewan, tambah beliau.
Teng berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Shamsudin yang tetap dengan pendirian menolak usul yang membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi PAC atas alasan ia hanya bermotifkan politik.
Shamsudin berkata, keputusannya tidak berubah kerana ia berkaitan dengan prinsip dan maruah sebagai wakil rakyat BN.
“Saya memang tidak terima usul tersebut kerana saya bimbang ia hanya bermotifkan politik. Bahkan Adun BN yang lain dari awal sudah menolak usul tersebut.
“Ini adalah soal prinsip dan maruah saya, jadi saya perlu mempertahankan,” katanya.
Kelmarin Shamsudin menolak usul tersebut yang dibentangkan pada sidang DUN Selangor bagi membolehkan pelantikan itu dibuat secara rasmi.
Pendirian itu diulangi semalam ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu Teng berkata tindakan Shamsudin juga menunjukkan seolah-olah beliau lebih mementingkan parti daripada kepentingan rakyat.
“Pembangkang kata nak mainkan peranan dalam kerajaan negeri tapi bila bagi tanggungjawab tidak mahu pula, saya tidah faham dengan politik Umno.
“Selain itu, kalau tidak bersetuju dengan usul tersebut mengapa [tidak] maklumkan lebih awal iaitu pada hari pertama lagi. Kenapa perlu tunggu hari keempat?
“Usul sudah diluluskan, jadi kita akan menghormati keputusan yang dibuat dewan. Sama ada terima atau tidak bergantung kepada mesyuarat PAC nanti,” katanya.
Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang awalnya menyambut baik langkah itu kemudian menyifatkan usul pelantikan Shamsuddin dibuat berdasarkan kepentingan politik.
Dalam perbualan menerusi Twitter, Teng berkata Khir juga telah bersetuju dengan pelantikan tersebut tetapi mengubah fikiran kemudian.
- TMI
Kembara Jr.......... inilah gambaran sebenar sikap puak Umno/BN. Kalau tak diberikan atau ditawarkan mereka akan mengatakan dan mendakwa bermacam-macam akan Pakatan Rakyat. Itu tak betul, ini tak betul dan macam-macam. Tapi bila ditawarkan menolak pulak dengan pelbagai alasan. Lihatlah betapa sempitnya pemikiran mereka ini.
0 Komen pengunjong :