PKR: Suara Keadilan tetap diterbitkan walaupun tanpa permit

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menerbitkan akhbar mingguannya Suara Keadilan minggu ini seperti biasa meskipun Kementerian Dalam Negeri tidak memperbaharui permit penerbitan yang luput Rabu lalu. Kedua-dua Pengarah Strategi PKR Tian Chia dan Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib mengesahkan yang akhbar itu akan diterbitkan, kemungkinan esok ataupun lusa.

“Biasanya Suara Keadilan akan diterbitkan pada Selasa... jika tiada halangan, akan diterbitkan esok seperti biasa,” kata Dzulkarnain ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Sebagaimana dikatakan oleh Tian Chua, saya merasakan parti mendapati Kementerian Dalam Negeri ada niat jahat (kerana tidak memperbaharui permit,” kata beliau.

Chua ketika ditemui di lobi Parlimen pagi tadi berkata, penerbitan akan diteruskan seperti biasa memandangkan keputusan kementerian masih belum jelas dalam soal memperbaharui permit.

“Apa yang kerajaan maksudkan tidak jelas, apabila mereka mengatakan bahawa permit tidak boleh diperbaharui tetapi penerbitan tidak diharamkan,” katanya.

“Kami akan terus mengeluarkan sehingga satu keputusan dibuat,” kata Chua lagi.

0 Komen pengunjong :