KUALA LUMPUR, 9 Julai — Presiden Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membawa “pemikiran seperti budak sekolah” kerana menyerangnya tidak tentu pasal sejak kebelakangan ini.
“Saya tidak mahu buang masa dengan budak Khairy ni, melatah tidak tentu pasal.
“Saya tidak tahu kenapa dia serang dan kaitkan saya macam-macam, terbaru (semalam) dia kaitkan Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju) dengan saya pula,” kata beliau selepas menghadiri Forum Rancangan Malaysia Ke-10 bersama RTM malam tadi.
Semalam, Khairy menyifatkan Choo Keong sebagai wakil rakyat “substandard” dan mirip Ibrahim versi Cina.
Dalam ruangan twitter ketika Choo Keong sedang menyoal Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ketika membahaskan Rang Undang-undang Mahkamah Rendah (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat hari ini, Khairy berkata:
“Kualiti Wee Chee Keong mencela sangat teruk. Saya merasakan beliau seorang wakil rakyat substandard.”
Khairy berkongsi pandangannya itu ketika berbual menerusi twitter dengan rakan sejawatannya dari MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.
“Saya merasakan beliau versi Ib Ali (Ibrahim Ali) Cina,” kata Ketua Pemuda Umno itu.
Choo Keong merupakan wakil rakyat terbaru keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ibrahim berkata sikap yang ditunjuk Khairy itu langsung tidak menggambarkannya sebagai seorang pemimpin muda yang bijak.
“Dia (Khairy) banding dan tuduh saya macam cakap saya berfikiran cetek seolah-olah dia mempunyai pemikiran global.
“Adakah ini sikap sebagai seorang pemimpin muda? Dia tidak sesuai untuk jadi ketua dengan otak budak sekolah itu,” katanya.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata dia sedia mengetahui segala rahsia Khairy.
“Tindak-tanduk dia saya tahu, kalau nak cakap soal peribadi dia pun saya tahu. Nak saya bongkar?
“Khairy ini siapa? Kalau setakat jadi Ketua Pemuda Umno sebab bapa mertua buat apa? Sejak dia jadi ketua pun Pemuda Umno nampak lesu, jadi lebih baik dila letak jawatan gantikan dengan orang lain,” tegasnya.
Ibrahim juga baru-baru ini terlibat dalam dalam pertikaman lidah dengan Khairy dan Ka Siong berhubung isi hak keistimewaan orang Melayu khususnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara.
Perkasa mendesak Khairy meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau.
Sambil menyifatkan Ibrahim tiada ada untuk mengatakan demikian, Khairy juga melabelkan wakil rakyat itu sebagai “gedebe politik.”
Ibrahim pula berkata beliau bangga kerana Khairy melabelkannya dirinya sebagai “jaguh kampung yang berani” dan gedebe politik.
- TMI
Kembara Jr.......... tak boleh kata mengata, kedua-duanya sama saja. Kedua-duanya tak boleh pakai. Patutlah yang satu tak boleh jadi menteri dan satu lagi tak diterima masuk Umno. Malang Umno/BN mempunyai ahli parlimen dan ahli bebas mesra Umno/BN tahap sebegini. Memalukan Umno/BN saja!!!!!!!!
0 Komen pengunjong :