Nik Aziz cabar Karpal


KOTA BAHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan Pas, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Beliau, yang juga Menteri Besar Kelantan, menganggap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam Pas jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Nik Abdul Aziz berkata, Pas akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir dari pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat Pas itu, ia merupakan pendapat peribadi masing-masing.

“Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar Pas itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas, sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

"Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri, bukannya dari DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas itu salah," kata Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh Pas, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar. 
 
- Bernama

0 Komen pengunjong :