SHAH ALAM 18 Julai - Kerajaan Umno-Barisan Nasional yang mengumumkan kenaikan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula berkuatkuasa 16 Julai lalu sejurus tamat sidang Dewan Rakyat dibidas kerana gagal menstruktur semula subsidi dan bukannya menekan rakyat dengan mengurangkan subsidi barangan keperluan asas.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kenaikan tersebut bersifat diktator dengan menafikan hak anggota parlimen untuk membahaskan perkara tersebut sambil menyifatkan ia adalah sikap tidak bertanggungjawab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap rakyat Malaysia.
"Saya melihat tindakan kerajaan membuat pengumuman selepas tamatnya sidang Dewan Rakyat satu sikap tidak menghormati ahli parlimen. Najib tidak bertanggungjawab dalam hal ini kerana menafikan hak seorang ahli parlimen untuk membahaskan isu yang berkaitan dengan hak rakyat.
"Selain itu saya melihat Najib menekan rakyat dengan menaikkan harga keperluan tersebut dengan alasan untuk mengurangkan subsidi serta tanggungan kerajaan. Perkara ini telah saya tekankan sebelum ini di parlimen, kerajaan perlu melakukan penstrukturan semula subsidi yang diberikan kepada syarikat besar seperti Penjana Kuasa Bebas (IPP) dan konsesi tol.
"Najib perlu mengurangkan subsidi kepada syarikat tersebut bukannya menarik subsidi yang telah diberikan kepada rakyat.
"Beliau perlu melihat terlebih dahulu kesan rantaian daripada kenaikan tersebut yang akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga makanan, kos pengangkutan termasuk juga kos tambang kepada perkhidmatan bas sekolah. Kesan ini akan memberi tekanan yang teruk kepada mereka yang berpendapatan rendah.
"Kerajaan harus memikirkan kesan tersebut dan ini akan berlaku ketidak sama rata ataupun ketidak adilan terhadap rakyat berpendapatan tinggi dan juga yang berpendapatan rendah.
"Mungkin bagi yang berpendapat tinggi tidak memberi kesan yang teruk tetapi apa akan jadi kepada yang mereka mendapat gaji yang rendah, peratusan kenaikan tersebut memberi impak yang besar kepadanya," jelas beliau kepada Suara Keadilan.
Mengenai alasan kerajaan bahawa pengurangan subsidi mampu mengurangkan perbelanjaan RM750 juta setahun selain meningkatan perkhidmatan sektor pengangkutan, Dr Dzulkefly berpendapat kenyataan tersebut adalah tidak berasas.
"Penjimatan RM750 juta setahun menjadi alasan Najib selain meningkatkan perkhidmatan sektor pengangkutan adalah satu yang tidak berasas. Kita lihat lebih banyak lagi kerajaan boleh berjimat seperti mengurangkan subsidi kepada IPP mahupun tol. Kerajaan boleh berjimat melebihi daripada apa yang diperkatakannya tetapi kenapa perkara ini tidak diambil.
"Alasan meningkatkan perkhidmatan sektor pengangkutan tidak kena pada keadaan untuk meningkatkan perkhidmatan bukannya dengan pengurangan subsidi dan disalurkan kepada sektor tersebut tetapi dengan cara melakukan tender terbuka kepada perkhidmatan sektor itu. Akibat daripada sikap kerajaan yang tidak mahu lakukan tender terbukalah menjadikan pengangkutan awam negara ini berada pada tahap yang teruk sehinggakan sentiasa mendapat rungutan dari pengguna.
"Tanpa tender terbuka menyebabkan berlakunya ketirisan, dari ketirisan inilah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian. Sikap kerajaan cukup senang tanpa fikirkan nasib rakyat bila melihat kerugian yang besar subsidi dikurangkan. Saya desak kerajaan mengkaji dan lakukan penstrukturan semula subsidi dan jangan lagi menekan rakyat bila tersilap mentadbir ekonomi negara," tegas beliau lagi.
Ditanya berkenaan penjelasan kerajaan terhadap rasionalisasi subsidi beliau meminta kerajaan menjelaskan apa jaminan yang diberikan kepada golongan yang layak ke atas pengurangan subsidi tersebut.
"Alasan yang tak masuk akal dan saya ingin Najib menjelaskan apa jaminan beliau terhadap golongan sasaran itu mendapat seperti apa yang beliau katakan.
"Saya tidak nampak ia boleh menjamin perkara itu boleh berlaku kerana situasi ini telah lama berulang, kita tidak melihat ada satu pun langkah yang diambil oleh kerajaan selepas pengumuman tersebut seperti pemberian kupon mahupun rebet tertentu. Perkara sama sebelum kenaikan harga dan saya rasa golongan kaya mahupun syarikat besar akan terus dengan keadaan sebelum ini begitu juga yang berpendapatan rendah.
"Kerajaan jangan membuat alasan yang tidak munasabah serta cuba memperbodohkan rakyat, sepatutnya sebelum membuat pengumuman pastikan dulu langkah yang ingin diambil bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah mendapat perlindungan. Bagi saya Najib gagal dalam pentadbirannya sekarang dan beliau tidak bertanggungjawab dalam memastikan rakyat negara ini terbela.
"Apa yang saya tahu kenaikan ini adalan diperingkat pertama, saya pasti rakyat akan terkejut dengan pengumuman kenaikan harga yang baru dalam masa yang terdekat," jelasnya lagi.
- Suara Keadilan
0 Komen pengunjong :