Kenyataan Rais berbaur politik

Peruntukan warisan RM20 juta untuk PP dinafikan

Yusmadi YusoffKUALA LUMPUR: Seorang anggota parlimen dari Pulau Pinang menganggap kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa negeri itu tidak layak mendapat peruntukan kewangan sebanyak RM20 juta di bawah tabung warisan sebagai kenyataan berbaur politik.
Anggota parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, tidak mungkin Pulau Pinang tidak boleh mendapat peruntukan kewangan di bawah tabung itu kerana Unesco telah mengiktiraf bandaraya George Town sebagai bandaraya warisan dunia.

"Dr Rais mungkin mempunyai kamus tafsiran warisan yang berbeza dengan yang telah ditetapkan oleh Unesco," sindir beliau.
"Jika beginilah pemikiran menteri yang menjaga warisan, agenda warisan Malaysia akan gagal kerana tidak menepati tahap piawaian antarabangsa (Unesco)," katanya kepada Free Malaysia Today ketika diminta mengulas kenyataan Dr Rais.
Semalam, Dr Rais berkata Pulau Pinang tidak layak mendapat peruntukan di bawah tabung warisan kerana negeri itu belum melaksanakan projek warisan. Beliau juga menegaskan ia bukan keputusan politik.
Rais YatimDifahamkan kerajaan telah bersetuju menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM30 juta kepada negeri Melaka untuk projek- projek warisan di negeri itu.
Yusmaidi berkata, Unesco memberi pengiktirafan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana melakukan kerja-kerja pemuliharaan warisan di negeri itu.
"Unesco bersama pakar-pakarnya telah datang membuat kajian di negeri itu sebelum mengisytiharkannya menjadi bandaraya warisan," terang beliau.
Sementara itu, kata pemimpin muda PKR itu, George Town dan Istanbul akan menandatangani status bandaraya warisan berkembar kerana kedua-dua bandaraya tersebut mempunyai banyak persamaan dari segi ekonomi dan kebudayaan.

- FMT

Kembara Jr.......... begitulah mentaliti menteri Umno/BN, sempit pemikirannya. Sebagai pemerintah dia tidak boleh mendikriminasikan sesebuah negeri itu walaupun negeri itu diperintahkan oleh pembangkang. Sesuatu yang patut diberi mereka patut beri tanpa sebarang alasan untuk mengelak daripada memberinya. Apatah lagi dalam kes Negeri Pulau Pinang ini dimana Unesco sendiri telah memberi pengiktirafannya kepada George Town sebagai bandaraya warisan. Jadi layaklah Pulau Pinang menerima peruntukan kewangan sebanyak RM20 juta di bawah tabung warisan. Tetapi itulah kata menteri kebudayaan yang tidak budaya, Pulau Pinang tak layak terima.

0 Komen pengunjong :