Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana menaikkan harga bahan bakar dan gula tanpa mekanisma membantu golongan berpendapatan rendah, mahupun langkah mengetatkan perbelanjaan dan pembasmian rasuah.
Bekas Menteri Kewangan ini berhujah kerajaan Umno-BN seharusnya mengambil langkah proaktif memastikan golongan paling terkesan dengan kenaikan ini dibantu untuk menghadapi lonjakan harga keperluan asas ini.
Ini kerana kenaikan tersebut meninggalkan kesan berganda yang akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, di mana 75 peratus darinya adalah bumiputera yang kononnya dibela Presiden Umno itu.
"Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau," tegas Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
"Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan perdana menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia," tambah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu lagi.
Kenaikan harga barangan keperluan diumum secara mengejut oleh perdana menteri malam tadi, yang menurut beliau merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat.
Mulai hari ini, petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen, manakala RON97 tidak lagi diberikan subsidi dan tertakluk kepada apungan secara terkawal.
Dalam pada itu, harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.
Kerajaan Persekutuan mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak 2008 atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.
Pakatan Rakyat membidas rumusan yang dibentangkan Umno-BN kerana ia meminggirkan golongan berpendapatan rendah dan memberi kelebihan yang diberi kepada pemain-pemain industri, seperti Penjana Tenaga Bebas yang diberi subsidi korporat jutaan ringgit.
"Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan. Kenaikan harga gula sebanyak 28 peratus sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan," tegas Anwar.
Sebelum ini pun, tambahnya, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas.
Bagaimanapun tindakan itu sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, kerana rekod menunjukkan defisit terus membengkak ke paras terbaru.
"Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku," jelas Anwar.
Sasaran penjimatan RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding pembaziran, boros dan kebocoran dana rakyat yang berlaku dibawah pentadbiran BN.
Perdana Menteri, tegasnya, tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.
"Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 bilion pada 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi 2010. Ini termasuklah perbelanjaan sekretariat mantan perdana menteri dan sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri perdana menteri," kata Anwar.
"Bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta," jelas beliau lagi.
0 Komen pengunjong :