KDN perlu bertindak adil

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertindak secara adil kepada akhbar milik pembangkang dan jangan menjadi seperti ‘budak bodoh’ apabila berdepan dengan akhbar milik kerajaan. Justeru, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat menyeru KDN supaya bersikap dan bekerjalah secara profesional. Begitupun, tegasnya, Pemuda PAS menempelak tindakan KDN yang bertindak menghantar surat tunjuk sebab kepada akhbar Harakah yang merupakan lidah rasmi PAS.
Sebelum ini, KDN juga telah menggantung permit Suara Keadilan yang dimiliki oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan Suara Keadilan gagal memberikan jawapan yang memuaskan berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.
Suhaizan berkata, tindakan KDN itu jelas ada agenda tersendiri dan tindak tanduk mereka seolah-olah KDN satu badan yang tidak bebas sepenuhnya dan dibayangi oleh kerajaan memerintah.
Buktinya, kata beliau Suara Perkasa yang dikeluarkan oleh Perkasa yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hanya diberikan amaran sahaja sedangkan kenyataan yang dikeluarkan sememangnya berbaur perkauman.
Tambahnya, Suara Perkasa itu sendiri pun tidak melambangkan konsep 1Malaysia yang sibuk dilaungkan oleh Kerajaan Umno BN sekarang ini.
“Kemudiannya jika dilihat pula kepada Utusan Malaysia dan Berita Harian, kenyataan-kenyataan dan artikel-artikel yang dikeluarkan saban hari memfitnah pembangkang dan membohongi rakyat secara terang-terangan akan tetapi selamat dari sebarang tindakan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, akhbar milik kerajaan itu sentiasa cuba memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan isu yang dimainkan sememangnya jelas berbaur perkauman.
Beliau mengambil contoh bagaimana Utusan Malaysia memutar belit kenyataan Anwar Ibrahim dalam isu lawatan beliau ke Washington, baru-baru ini.
Begitu juga, katanya dalam isu tanah Melayu di Pulau Pinang, mereka menggambarkan bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim Guan Eng bertindak sesuka hati merampas tanah orang Melayu tanpa belas kasihan.
Baginya, akhbar berkenaan cuba menimbulkan isu perkauman daripada isu ini.
“Jadi sudah terang dan jelas Utusan bermain api perkauman tetapi mengapa tiada tindakan diambil?
“Bukankah ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenteram di antara kaum di negara ini?” soalnya.
Sehubungan itu, Suhaizan mempersoalkan mengapa KDN hanya membisu dalam hal itu.
Bahkan, ujarnya banyak lagi rencana yang kalau hendak diambil kira sememangnya cukup layak KDN bertindak, namun KDN hanya mengambil sikap butakan mata, pekakkan telinga.
Itu, katanya belum lagi dilihat kepada lambakan majalah-majalah separuh bogel dan berbaur lucah serta kurafat yang boleh memesongkan akidah umat Islam dalam negara kita.
Justeru, tegasnya DPPP mencabar agar KDN bertindak ke atas Utusan Malaysia dan Berita Harian yang saban hari mengeluarkan artikel yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta membohongi rakyat dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali terhadap pembangkang.
“KDN perlu bertindak secara adil kepada semua. Jangan bertindak hanya kerana akhbar tersebut milik pembangkang namun menjadi seperti ‘budak bodoh’ bila berdepan dengan akhbar milik kerajaan. Bersikap dan bekerjalah secara profesional, bukan semacam ‘melayu’,” katanya lagi.

- Harakahdaily

Kembara Jr......... KDN janganlah bersikap berat sebelah. Jangan kerana akhbar tersebut pro Umno/BN, jika kesilapan dilakukan hanya diberi amaran atau teguran tetapi kalau akhbar pembangkang buat kesalahan terus digantung. Dalam soal sebegini kaji kesalahan mereka, tak kira lah mereka dari pehak mana dan buatlah keputusan yang betul. Barulah rakyat puas hati.

0 Komen pengunjong :