KDN Niat Jahat Gantung Permit Suara Keadilan - Azmin

KEADILAN menyelar tindakan Kementerian Dalam Negeri(KDN) menggantung permit penerbitan akhbar Suara Keadilan dan menyifatkannya sebagai mencabuli hak kebebasan demokrasi termasuk kebebasan akhbar serta hak pembangkang.
Naib Presiden, Azmin Ali berkata KDN membuat pernyataan bahawa ia tidak puashati dengan penjelasan SK bersabit laporan “Felda Bankrap” adalah tidak munasabah sama sekali.
“Suara Keadilan adalah lidah rasmi PKR yang berpegang kepada dasar perjuangan yang berbeza daripada  Barisan Nasional dan sudah pasti bertentangan pandangan dengan parti pemerintah,’ tegas Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2 Julai lalu Suara Keadilan menerima surat daripada KDN yang antaranya mendakwa akhbar itu tidak memberi respon kepada "surat-surat teguran" yang menerbitkan berita bertajuk “UMNO-BN Ketagih Sedut Hasil Petronas”, “BN Bolot, Jual Saham BERNAS” and “UMNO-BN Rosakkan Institusi Perubatan”.
Di samping itu, KDN juga memberi alasan bahawa permit akhbar terbabit telah tamat tempoh pada 30 Jun 2010.
Sehubungan itu, Azmin berkata KEADILAN mendapati alasan yang dikemukakan oleh KDN sebagai tidak munasabah dan berunsur niat jahat kerana sudah tentunya sebagai lidah rasmi parti pembangkang, Suara Keadilan tidak hanya terikat melaporkan berita berkaitan aktiviti parti tanpa melaporkan sebarang laporan mengenai isu semasa serta kerajaan yang memerintah.
Menurutnya tindakan tersebut jelas menunjukkan kerajaan BN di bawah pimpinan Umno berasa goyah dan tidak mampu memberi reaksi balas kepada isu dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pembangkang dan sebaliknya menggunakan penindasan serta undang-undang Akta Percetakan dan Penerbitan yang sudah lapuk.
Beliau menambah KDN sewajarnya  tidak harus mengambilkira apa yang dilaporkan dan sepatutnya hanya meluluskan permit tahunan tanpa mencuba untuk menetapkan apa yang boleh atau tidak boleh dilaporkan.
 Sehubungan itu katanya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa parti berkenaan tidak pernah menerima sebarang surat dari KDN termasuk surat teguran yang didakwa telah dihantar.
Menurut Azmin lagi peguam bagi pihak Suara Keadilan sudah menulis surat pada 29 Jun lalu memaklumkan bahawa anak guam mereka tidak menerima sebarang surat berkenaan dan memohon supaya KDN memberi maklumat lanjut serta salinan surat berkenaan namun sehingga kini kementerian terbabit gagal memberi maklum balas.
Azmin berkata Suara Keadilan telah memohon untuk memperbahrui permit mereka pada 11 Mac lalu tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas dari KDN dan  jelas menunjukkan kementerian berkenaan menggunakan laporan berita mengenai Felda serta dakwaan surat-surat teguran telah diberi sebagai alasan untuk menggantung permit akhbar terbabit.

- Suara Keadilan

0 Komen pengunjong :