LONDON 8 Julai - Bekas penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan barisan peguamnya melahirkan rasa kecewa dengan pembatalan rancangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekodkan keterangannya di sini.
Balasubramaniam telah sampai di sini dari India selepas pegawai SPRM menghubungi peguamnya untuk menyampaikan hasrat mengambil keterangannya mengenai perakuan sumpah yang ditarik balik berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibbu.
Dalam sidang akhbar di Hotel Holiday Villa di sini pada Rabu, Balasubramaniam bersama barisan tiga peguamnya berkata: "kini semuanya terletak di tangan SPRM".
"Kami ingin menegaskan bahawa kami kini berada di sini dan anak guam kami, Balasubramaniam sentiasa bersedia dan sanggup membantu SPRM jika mereka mahu menemubualnya,"" kata peguam Americk Sidhu.
"Sekiranya SPRM ingin menemubual Balasubramaniam maka kali ini mereka perlu mematuhi syarat kami sepenuhnya kerana mereka terlepas peluang keemasan," katanya.
Americk mendakwa SPRM bimbang untuk datang ke London bagi mendengar kisah sebenarnya.
Menurut salah seorang peguam, Manjeet Singh Dhillon, bahawa pihaknya berhasrat supaya
Balasubramaniam menonjolkan kisah keseluruhan yang berkisar dalam hal Altantunya jika pegawai SPRM datang ke sini.
Manjeet berkata polis telah merekodkan tidak kurang lima kenyataan daripada Balasubramaniam.Balasubramaniam merupakan penyiasat yang diupah oleh penganalisis politik, Abdul Razak Baginda selepas Altantunya didakwa mengganggu dia untuk tuntutan bayaran komisen selepas pembelian kapal selam.
Abdul Razak didakwa bersuhabat dalam pembunuhan wanita itu tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Okt, 2008, selepas hakim mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.
Selepas kematian Altantunya, Balasubramiam membuat perakuan sumpah berhubung pembunuhan itu tetapi menarik balik perakuan itu sehari selepas itu menerusi perakuan sumpah keduannya.
"Cara Balasubramaniam dilayan selepas perakuan sumpah pertama pada 3 Julai, 2008, dia segera ditahan, disuap, dipujuk, diugut dan dibuang dari Malaysia," kata Manjeet.
Balasubramaniam mengakui bahawa beliau bimbang untuk kembali ke Malaysia dan mendakwa beliau mungkin ditahan.
Katanya beliau akan disoal oleh pihak berkuasa Perancis pada 12 Julai ini berhubung bayaran komisen bagi pembelian kapal selam itu sebelum kembali ke India untuk bertafakur di pergunungan Himalaya.
"Apabila SPRM meminta saya datang ke London, saya datang," katanya.
Sidang akhbar itu turut dihadiri ahli-ahli media alternatif, salah seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim dan pengendali blog 'Malaysia Today', Raja Petra Kamaruddin.
Bernama
Kembara Jr.......... ada sebablah tu SPRM membatalkan pemergian ke London untuk mengambil keterangan dari Bala, kalau tidak sudah tentu SPRM akan kesana. Sementelah lagi Bala dikira dari puak Pakatan Rakyat. Tengok sajalah mana-mana puak Pakatan Rakyat yang lapuran dibuat kepada SPRM, sepantas kilat tindakan diambil kerana ada kepentingan untuk Umno/BN. Kes Bala ni lain sikit, mungkin kalau SPRM jumpa Bala banyak lagi akan Bala dedahkan sesuatu yang menjatuhkan maruah Umno/BN maka itulah sebabnya dibatalkan pertemuan tersebut. Kita tengoklah apa tindakan SPRM selepas ini.
0 Komen pengunjong :