Ulama Sertai Umno Demi Perlindungan Politik ??

Ketika Dr Mohd Asri Zainul Abidin masih berteka-teki berhubung ura-ura penyertaannya dalam parti politik, ada pihak pula melihat tindakan bekas mufti Perlis itu untuk menyertai Umno adalah perlu bagi mendapatkan 'perlindungan' politik.

Difahamkan, selepas penahanan 12 warga asing yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi – aliran yang sentiasa dikaitkan dengan Dr Asri - di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) di Gombak Januari lalu, pilihan untuk menyertai Umno mulai dibincangkan di kalangan pengikut-pengikutnya.

Malahan, menurut sumber-sumber, serangan berterusan daripada ulama yang anti-Wahabi daripada beberapa agensi agama kerajaan menyebabkan kumpulan tersebut terdesak mengambil tindakan drastik itu.

Tambahan lagi, laporan laman Umno Online berhubung 'hasrat' Dr Asri itu yang dibuat seminggu selepas beliau tampil di muktamar PAS di Kota Bharu mengejutkan banyak pihak.

Di sudut yang lain pula, Umno dilihat amat memerlukan penyertaan golongan agama, terutamanya tokoh yang cukup popular seperti Dr Asri bagi memulihkan imej agamanya yang kini 'tercalar', antaranya berikutan kontroversi lesen judi sukan baru-baru ini.

Isu ini disemarakan lagi dengan pendedahan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada minggu lalu bahawa seramai 10 warga asing ditahan dan dihantar pulang ke negara masing-masing sejak awal tahun ini kerana disyaki menjalankan operasi Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan terorisme.

-  Malaysiakini

0 Komen pengunjong :