Tidak Faham Fatwa : Wee Dibidas MP PAS.

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengkritik Mursyidul Am PAS,  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Rakyat hari ini menyebabkan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong menjadi sasaran beberapa Ahli Parlimen PAS.

Wee Choo KeongSemuanya bermula dengan kenyataan Wee yang mendakwa Nik Aziz berfatwa menggunakan duit cukai arak untuk pembangunan rakyat Kelantan. Namun beberapa Ahli Parlimen PAS segera bangkit membidas kenyataan Wee tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ Datuk Mohd Ghazali, kelulusan lebih 40 lesen premis arak bukanlah seperti didakwa Wee kerana ia bukanlah fatwa Nik Aziz.
Sebaliknya, beliau berkata, Wee seakan tidak mengetahui maksud sebenar fatwa sekaligus mengelirukan Dewan.

"Perkara yang dinyatakan itu bukan fatwa, dia (Wee) bercakap perkara yang dia sendiri tidak faham. Dia (Nik Abdul Aziz) tiada di sini dan tak boleh hendak mempertahankan diri," kata Lo’Lo yang disokong oleh Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam)."

Dalam perkembangan yang lain, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kemudiannya menyifatkan ucapan Wee itu sebagai tidak mencerminkan kebijaksanaan sendiri.

"Kenyataan beliau (Wee) sebentar tadi menunjukkan kebodohan beliau sendiri. Jelas beliau tidak faham apa yang diperkatakannya," kata Khalid yang ditemui Free Malaysia Today di luar dewan.

Wee yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam ucapan perbahasannya turut meminta kerajaan meneruskan cadangan memberikan lesen judi sempena kejohanan Piala Dunia 2010, agar dapat memperoleh pendapatan daripada hasil cukai dari aktiviti tersebut.

"Sedang kita semua sibuk berbahas dalam Dewan yang mulia ini, negara mungkin sedang kehilangan nilai hasil yang berjuta, mungkin berbilion, ini semua hanya kerana politiking melampau dan hipokrit yang dijana oleh seorang manusia rakus demi memenuhi nafsu politik matlamat menghalalkan cara," kata Wee.

0 Komen pengunjong :