Tiada keputusan status permit Suara Keadilan

Keputusan status permit akhbar PKR - Suara Keadilan akan diproses pada mesyuarat panel 13 anggota jawatankuasa mengkaji dan menilai permohonan permit penerbitan media cetak.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Samad berkata semua penerbitan media cetak di negara ini tertakluk pada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
"Kami telah mendapat jawapan kepada surat kami bertarikh 28 Jun memohon penjelasan berhubung artikel mengenai Felda dan kita akan mengkajinya.

"Tetapi masih ada masa. Mereka akan hanya menerbitkan edisi seterusnya pada pertengahan Julai,” katanya.
Suara Keadilan telah mendapat permit surat berita parti politik dari KDN pada 2007 dan pernah digantung selama tiga bulan pada 2008.
Minggu lalu, Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.

Menurut Zaitun, permit akhbar Suara Keadilan tidak akan digantung selagi KDN belum mempertimbangkan penjelasan yang dikemukakan oleh akhbar berkenaan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat panel permit penerbitan yang diadakan dua kali seminggu dan dipengerusikan oleh ketua setiausaha, kementerian itu, Datuk Mahmood Adam.

Zaitun berkata pihaknya juga sudah menerima sepucuk surat daripada peguam Suara Keadilan berhubung tiga surat yang dihantar sebelum 28 Jun.

Semalam, ketua pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib memberitahu Malaysiakini peguam berkenaan memohon tiga salinan surat daripada kementerian yang didakwa belum diterima.

- Malaysiakini

Kembara Jr.......... Kalau beginilah keadaannya Suara keadilan akan menerima nasib sebagaimana yang diterimanya pada tahun 2008, digantung selama tiga bulan. Harap-harap pehak KDN bersikap profesional dan membuat keputusan tidak mengikut telunjuk mana-mana pehak. Mudah-mudahan Suara Keadilan akan dapat diterbitkan sebagaimana biasa..............

0 Komen pengunjong :