PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta akhbar mingguan organ Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suara Keadilan memberi penjelasan berhubung tiga pucuk surat tunjuk sebab yang dihantar sejak awal tahun lalu dan satu surat mengenai aktikel ‘Felda Bankrap’.
Ketua Setiausaha (KSU) KDN Datuk Seri Mahmood Adam berkata, sejak Januari lalu, KDN telah menghantar surat ke Ibu Pejabat PKR meminta penjelasan tetapi tidak menerima maklum balas dari akhbar tersebut.
Menurutnya, KDN memberi tempoh hingga pukul 5.00 petang ini untuk mendapatkan penjelasan terkini dari tiga surat tunjuk sebab terdahulu berkaitan tiga artikel dalam penerbitan dan tujuh hari untuk menjawab mengenai artikel ‘Felda Bankrap’.
"Kita inginkan penjelasan segera mengenai tiga artikel yang disiarkan pada Januari, Mac dan April iaitu artikel ‘Umno dan Barisan Ketagih Hasil Petronas’, ‘BN Bolot Jual Saham Bernas’ dan ‘Umno BN Rosakkan Institusi Perubatan’.
Beliau berkata, "jika Suara Keadilan gagal mengemukakannya sebelum 5.00 petang ini, KDN akan mengambil tindakan menggantung permit mereka.
"Kita akan menilai penjelasan yang diberikan dan akan membuat keputusan selepas mesyuarat petang esok," katanya di Ibu Pejabat KDN di sini lewat petang semalam.
Akhbar Suara Keadilan juga dikatakan gagal untuk menyerahkan lapan salinan untuk setiap terbitan terkini hingga memaksa KDN mengeluarkan surat tunjuk sebab.
Mahmood berkata, "akhbar ini menunjukkan sikap degil hingga tidak mematuhi akta penerbitan yang dikeluarkan walaupun kita telah menghantar beberapa surat peringatan.
"Kita telah memanggil mereka sejak hari Jumaat lalu tetapi mereka terus memberi pelbagai alasan hingga menyebabkan pihak KDN tidak dapat bertolak ansur lagi," ujar beliau.
- FMT
- FMT
0 Komen pengunjong :