SPR : Pilihan Raya Berasingan Membazir

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggap cadangan mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan hanya menimbulkan lebih banyak keburukan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jika perkara itu berlaku, ia akan menjejaskan tumpuan kerajaan melaksanakan program pembangunan kerana terpaksa melayan pelbagai kerenah politik.

Malah, katanya, walaupun ia dibenarkan mengikut Perlembagaan, pilihan raya berasingan hanya membazirkan wang rakyat kerana kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak semata-mata mahu mengadakan dua kali pilihan raya.

"Pilihan raya berasingan antara DUN dan Parlimen ini lebih banyak yang tidak baik berbanding yang baik. Ini kerana, kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk mengadakan pilihan raya dan keadaan itu mewujudkan suasana tidak stabil dalam negara akibat terlalu banyak berpolitik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas cadangan PAS Kelantan supaya pakatan pembangkang mengadakan Pilihan Raya DUN sendiri untuk empat negeri yang dikuasai mereka – Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan tanpa menunggu pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri.

Wan Ahmad berkata, pilihan raya seperti itu juga belum tentu memihak kepada parti politik yang memerintah kerajaan negeri kerana peluang semua parti bertanding untuk menang, adalah sama kerana ia ditentukan pengundi.

0 Komen pengunjong :