Lebih 40 NGO Serah Memo Bantah Lesen Judi Kepada PM

PUTRAJAYA, 23 Jun – Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ),
yang diwakili lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) dan individu, hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendesak kerajaan supaya tidak memperbaharui atau meluluskan sebarang lesen judi di negara ini.

Penyerahan memorandum itu, yang diketuai Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abdul Hamid, diterima oleh Penolong Setiausaha Pejabat Perdana Menteri, Nasrul Hakim Jamaludin di luar Bangunan Putra Perdana di sini, kira-kira 3.30 petang.

Mohd Azmi berkata GMJ, yang merupakan pertubuhan mewakili rakyat berbilang bangsa dan agama, mendesak kerajaan supaya sebarang lesen judi termasuk judi sukan yang telah dikeluarkan, dibatalkan.
Beliau berkata GMJ membantah perkara itu kerana judi akan hanya menyebabkan kesan yang negatif kepada masyarakat.

“Kami membuat pendirian tidak setuju dengan sebarang lesen judi. Semua bangsa dan agama menolak judi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Mereka sedang merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah usaha kerajaan meluluskan lesen pada 3 Julai ini dan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam pada itu, Azmi berkata pertubuhan itu bukan hanya menentang judi sukan tetapi semua bentuk judi. Beliau berkata memorandum kepada Perdana Menteri bertujuan menyatakan kemarahan rakyat terhadap keputusan membenarkan judi. Azmi menegaskan bukan hanya orang Melayu tetapi komuniti lain juga turut menentang judi.

“Kami beritahu mereka bahawa memorandum ini mewakili NGO berbagai kaum dan agama untuk menunjukkan bahawa semua komuniti dan agama melihat judi sebagai satu penyebab berlakunya masalah sosial. Kaum Cina dan India juga berpendapat bukan hanya judi sukan haram dan menolak dakwaan bahawa orang bukan Islam gemar berjudi. Kami mengatakan ini adalah permintaan rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan al-Tantawi berkata, kelulusan judi akan meningkatkan lagi kadar jenayah.

“Kita boleh lihat kesan judi dan kadar jenayah negara semakin diluar teruk. Kita tahu rakyat akan terlibat dengan jenayah apabila tidak cukup wang untuk memenuhi aktiviti judi mereka,” kata Nasrudin.

Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Ser Choon Ing berkata komuniti Cina juga menentang judi.

"Kita mahu melenyapkan persepsi bahawa orang Cina gemar berjudi sebaliknya komuniti menentang judi. Saya rasa tanggapan ini salah,” kata Ser.

Wakil Yayasan Tamil, Thiagrarajan Sokalingam berkata semua agama menentang judi.

Azmi berkata mereka akan memohon permit pagi esok untuk mengadakan perhimpunan.

- TMI

0 Komen pengunjong :